Islam Ornamental Art 2

Saturday, May 14, 2011

PRINSIP-PRINSIP TAMADUN ISLAM SESUAI DIAMALKAN DI DALAM MASYARAKAT MAJMUK.

                     Menurut Kamus Dewan Edisi baru 1989 halaman 1274, Tamadun bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran(sosial, budaya, politik dll) yang tinggi peradaban; 2. negara dan penduduknya yang telah mencapai kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik dll ) yang tinggi; 3. Budaya, cara hidup orang-orang (negara, kawasan atau sesuatu zaman) tertentu, peradaban; 4. keadaan pemikiran (budaya dan moral ) yang halus, peradaban. Ringkasnya Tamadun ialah perkembangan kemajuan yang lebih baik termasuk dari segi fizikal dan spiritual. Manakala Tamadun Islam pula ialah perkembangan ke arah yang lebih baik dari segi fizikal dan spiritual yang bersumberkan wahyu iaitu Al Quran dan Al Hadis (al Sunnah) yang ditegakkan oleh orang-orang Islam yang terdiri dari berbagai bangsa dan keturunan. Namun begitu tidak bermakna mereka yang bukan Islam tiada sumbangan terhadap ketamadunan Islam. Mereka turut menyumbang dalam menterjemah buku-buku dari tamadun-tamadun sebelum Islam ke dalam bahasa Arab serta sumbangan lain yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.
                      Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Baru 1989, halaman 786, masyarakat majmuk bermaksud masyarakat yang terdiri daripada beberapa kaum ( suku bangsa) atau bangsa.
                     ”Masyarakat Majmuk ialah: 1.masyarakat yang mengandungi beberapa kumpulan etnik yang hidup berdampingan dan tinggal bercampur gaul, tinggal dalam satu unit politik yang sama tetapi hidup cara berasingan dan tidak bersatu padu dan mempunyai budaya yang tersendiri.” (http:fauzynm.tripod.com/Nasihat/Nasihat144/nasihat144.html 19 December 2008, jam 9.45am)
                     Islam yang menjadi pegangan dan agama anutan telah membawa perubahan besar kepada cara berfikir umat. Islam membawakan konsep keadilan sejagat, keadilan pemerintahan, tanggungjawab pemimpin, hak rakyat, hak asasi manusia berbanding dengan sebelum kedatangan Islam. Ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah membolehkan pemikiran dan keilmuan Islam terbina dengan disiplin dan peraturan yang meliputi seluruh aspek kehidupan sehingga membentuk identitinya yang tersendiri.
                    Wujudnya kekuatan intelektual yang dipelopori oleh ulamak Islam dan digabungkan pula dengan kekuatan dan kecerdasan spiritual yang wujud pada diri mereka menjadi asas terpenting bagi pembinaan sebuah tamadun. Islam diturunkan oleh Penciptanya kepada seluruh manusia. Justeru itu Islam adalah milik manusia di mana sahaja mereka berada. Islam adalah pembawa kesejahteraan kepada seluruh alam. Dasar utamanya ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi manusia.
                  Sebelum membincangkan bagaimana prinsip Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk dengan lebih terperinci terlebih dahulu elok kita mengetahui apakah prinsip-prinsip Tamadun Islam. Terdapat lima prinsip dalam Tamadun Islam yang kesemuanya adalah berasaskan Al Quran dan Al Sunnah. Kelima-lima prinsip tersebut ialah memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara maruah dan keturunan, dan yang terakhir ialah memelihara harta.
                  Prinsip Tamadun Islam yang pertama iaitu memelihara agama amat sesuai diamalkan kerana Islam menjamin suasana selesa bagi memupuk keharmonian hidup beragama dalam sesebuah masyarakat majmuk.
                 Masyarakat majmuk tidak asing bagi Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
                “Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain:”
                                                                                                                                        (Al-Hujurat, ayat 13)
               “Dan di antara tanda-tandaNya ialah kejadian penciptaan langit dan bumi dan kepelbagaian bahasa dan warna kulit di kalangan kamu, sesungguhnya ia adalah menjadi bukti bagi mereka yang berilmu”
                                                                                                                                        (Al-Rum, ayat 22)
                Islam juga mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam seperti yang ternyata di dalam Al-Quran yang bermaksud
               “Dan jika dikehendaki Tuhanmu, tentu beriman semua manusia yang ada di bumi; lantaran itu patutkah engkau (Muhammad) hendak paksa manusia sampai mereka menjadi mu’minin (beriman)
                                                                                                                                   (Surah Yunus, ayat 99)
                “Dan kalau Allah mahu, nescaya Ia jadikan kamu (semua) satu umat, tetapi ia sesatkan siapa yang ia kehendaki dan Ia pimpin siapa yang Ia kehendaki; dan kamu akan ditanya darihal sesuatu yang kamu telah kerjakan:”
                                                                                                           (Surah al-Nahl, ayat 93)         
                ”Tidak ada paksaan pada agama. Telah nyata kebenaran daripada kesesatan.”

                                                                                                       (Surah al-Baqarah ayat 256) 
                Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa dalam soal fahaman dan anutan agama seseorang tidak boleh memaksa seseorang untuk mengikuti fahaman agamanya. Islam memberi kebebasan untuk memilih agama yang diyakini. Orang bukan Islam bebas menganut agama yang mereka yakini dan bebas mengamalkannya. Islam mengiktiraf kemampuan manusia berbanding dengan makhluk lain untuk menggunakan akalnya dengan memberikan kebebasan untuk membeza dan memilih mana satu yang benar dan mana satu yang salah. Islam juga memberi seluas-luasnya ruang kepada kekuatan intelek untuk melakukan penelitian dengan hujah-hujah ilmiah untuk mencapai kebenaran. Ini membuktikan Islam memberi peluang kepada masyarakat pelbagai bangsa dan agama bukan sekadar berinteraksi dalam urusan harian, malah dalam perbincangan tentang keilmuan serta soal kepercayaan dan akidah.
                 Islam menyediakan cara hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama. Prinsip toleransi beragama, kebebasan beragama, sikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain yang berlainan anutan agama adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib dilaksanakan. Sekiranya semua pihak yang berlainan agama ini benar-benar memahami agamanya tentu mereka akan mengamalkan ajaran agamanya dengan sebaik-baiknya. Dalam waktu yang sama Islam menggalakkan dan sentiasa memberi ruang dan kesempatan untuk semua pihak yang berbeza agama ini berinteraksi bagi berbincang tentang fahaman masing-masing yang tidak bertentangan dengan prinsip agama masing-masing supaya lahir suasana yang harmoni dan saling hormat-menghormati. Kesimpulannya setiap penganut agama mestilah memahami dengan sebaik-baiknya ajaran agama yang dianutinya dan beramal dengannya. Ini jelas menunjukkan betapa Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk kerana Islam sentiasa menekankan kepentingan mendalami ilmu agama dan mengamalkannya demi menjamin keharmonian masyarakat di samping kesucian agama yang akan tetap terpelihara.
                  Islam mengakui wujudnya agama lain namun begitu ini tidak bermakna Islam mengakui kebenaran agama-agama tersebut. Di dalam Islam tidak ada kompromi dalam soal akidah namun dalam soal-soal lain Islam menggalakkan umatnya berinteraksi dengan kelompok-kelompok berlainan agama.
                   Prinsip seterusnya yang akan kita bincangkan ialah memelihara nyawa. Islam mewajibkan umatnya menjaga keselamatan dan mengharamkan perkara atau perbuatan yang boleh membahayakan nyawa. Merokok dan menyalahguna dadah adalah dilarang kerana ia merosakkan kesihatan dan membahayakan nyawa. Merokok akan merosakkan paru-paru dan hati perokok serta orang-orang yang terhidu asap rokok. Paru-paru dan hati yang rosak boleh menyebabkan kematian. Penyalahgunaan dadah akan merosakkan seluruh sistem saraf dan boleh menyebabkan kematian. Membunuh tanpa sebab merupakan dosa besar. Membunuh diri juga merupakan dosa besar dan akan ditimpa azab di akhirat nanti. Perselisihan, perbalahan atau pergaduhan sangat dilarang kerana ia akan merosakkan keharmonian dan mungkin menyebabkan pembunuhan dan kehilangan nyawa. Justeru itu Islam amat menekankan cara hidup yang harmoni.
                   Sebagai contoh keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia ialah hasil peranan Islam sebagai unsur terpenting kerana orang Melayu yang majoritinya beragama Islam, mempunyai kekuatan rohani dan intelek yang membolehkan mereka membina kemahiran berkomunikasi, berinteraksi dengan sesiapa sahaja termasuk orang asing. Budaya yang berlandaskan Islam telah membentuk ciri-ciri kelembutan, mudah bersahabat, empati dan bertimbangrasa serta bertolak ansur. Ini menjamin keamanan dan mengelakkan perbalahan dan peperangan. Keharmonian dan keamanan menjamin nyawa terpelihara.
                   Islam juga bersifat anjal. Islam mewajibkan umatnya berusaha untuk mempertahankan nyawa. Sekiranya sesuatu perkara atau perbuatan itu boleh menyelamatkan nyawa, walau pada awalnya hukumnya haram ia boleh dilakukan. Contohnya dalam bidang perubatan, ubat berbentuk cecair yang digunakan untuk merawat penyakit jantung adalah diambil dari babi yang kita sedia maklum akan hukum haramnya, namun jika ia dapat menyelamatkan nyawa pesakit ia adalah dibenarkan. Ia pastinya bersesuaian dan mudah diterima di kalangan masyarakat majmuk.
                  Prinsip ke tiga Tamadun Islam ialah memelihara akal. Perkara-perkara yang menyentuh tentang cara serta makanan dan minuman yang baik untuk kesihatan tubuh badan dan akal fikiran juga diajarkan dalam Islam. Di dalam Al Quran ada dinyatakan tentang kebaikan pengambilan madu lebah sebagai ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Menjaga kesihatan menjadi kewajipan umat Islam. Adab makan juga diajarkan di dalam Islam. Contohnya sebelum makan mestilah mencuci tangan supaya kekotoran pada tangan dapat dibersihkan. Islam juga mengesyurkan memegang makanan menggunakan tangan kanan kerana tangan kanan mengandungi kimia yang membantu penghazaman makanan. Makanan yang mudah hazam menjamin kesihatan tubuh badan seterusnya menyihatkan fikiran dan akal. Tubuh badan yang sihat akan menjamin akal yang sihat ke arah membina negara dan menegakkan agama.
                   Makanan yang dimakan atau minuman yang diminum hendaklah yang halal yang terhasil dari usaha yang halal kerana makanan dan minuman ini akan menjadi darah dan daging serta menjana minda. Makanan atau minuman yang haram akan mengotorkan jiwa dan merosakkan akal.
                  ”Hendaklah perut itu dipaksa jangan sampai senang kepada kerakusan, sedikit sahaja makan dan itupun yang halal sahaja, menjauhi perkara-perkara syubhat dan dilarang untuk mengikut syahwat sehingga tidak mengenal batas.”
(Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Dimasqi; Intipati Ihya’ Ulumuddin Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin, halaman 1364 )
                   Islam juga mengajar adab melakukan pekerjaaan. Islam mengajar umatnya memulakan langkah dengan kaki kanan kerana pergerakan anggota kanan akan mengaktifkan otak kiri. Otak kiri yang aktif akan melahirkan insan yang cerdik serta kuat ingatan dan akalnya. Melakukan perkara yang merosakkan diri juga adalah dilarang. Contohnya minum arak, ia dilarang kerana boleh menyebabkan mabuk dan merosakkan akal. Mabuk dan akal yang rosak ini menjadikan manusia tidak siuman seterusnya menggalakkan mereka melakukan kemudaratan kepada diri, orang lain serta persekitarannya. Untuk lebih menjamin kewarasan akal, Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu demi meningkatkan tahap pemikiran. Umat Islam digalakkan menimba ilmu sebanyak-banyaknya walau di manapun supaya dengan ilmu yang dimiliki akal akan terpelihara seterusnya menghindar diri dari melakukan perkara-perkara yang menyalahi norma masyarakat serta ditegah oleh agama. Malah mencari ilmu itu merupakan satu ibadat dan jihad di dalam Islam. Tidak syak lagi ia bersesuaian dengan nilai agama lain dan sesuai diamalkan oleh semua orang.
                   Prinsip Tamadun Islam yang ke empat ialah memelihara maruah dan keturunan. Islam mendidik umatnya untuk sentiasa memelihara maruah dan keturunan. Islam mengharamkan zina demi mengelakkan keturunan yang tidak menentu nasabnya. Islam juga mengharamkan zina bagi mengelakkan tersebarnya penyakit berjangkit yang berkaitan hubungan kelamin secara rambang. Contohnya di Malaysia kini pasangan Islam yang akan berkahwin diwajibkan untuk mengikuti kursus perkahwinan dan mulai tahun hadapan iaitu tahun 2009 mereka perlu menjalani ujian HIV (Warta 12, RTM 1, 23 Desember 2008). Ini adalah untuk memastikan bakal-bakal suami isteri mempunyai ilmu yang secukupnya untuk mengendali sebuah keluarga seterusnya melahirkan zuriat yang berakhlak mulia, sihat tubuh badan dan akal serta mampu menegakkan syariat Islam.
                          Islam telah mengiktiraf perkahwinan poligami namun ia tidak diwajibkan dan bukan sesuatu yang digalakkan. Poligami dibenarkan adalah demi memelihara maruah dan keturunan zuriat yang bakal dilahirkan. Ini berbeza dengan fahaman lain selain Islam. Contohnya di Barat, poligami tidak dibenarkan tetapi undang-undang membenarkan lelaki dan perempuan hidup bersekedudukan. Akibatnya lahirlah anak-anak luar nikah yang tidak tentu keturunannya serta merebaknya penyakit berjangkit seperti AIDS atau penyakit kelamin yang lain. Seterusnya terbentuklah masyarakat yang rosak akhlaknya dan tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Justeru itu tidak syak lagi prinsip Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk. Masyarakat bukan Islam boleh juga melaksanakan peraturan seperti masyarakai Islam negara ini yang mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin mengikuti kursus perkahwinan dan menjalani ujian HIV. Ini akan memelihara maruah dan keturunan manusia.
                       Prinsip Tamadun Islam yang terakhir ialah memelihara harta. Setiap individu berhak mencari rezeki masing-masing serta berusaha untuk mendapat, mengumpul dan menggunakan harta benda mereka secara bebas mengikut kemampuan masing-masing selagi tidak melanggar norma masyarakat dan agama. Harta atau kekayaan yang diperoleh dari usaha sendiri dengan cara yang halal berhak dipelihara dan dipertahankan. Tiada sesiapa berhak mengambil tanpa izin pemiliknya. Mereka yang memelihara hartanya akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.
                      Di Malaysia yang agama rasminya ialah agama Islam, sistem ekonomi alternatif yang serasi dengan nilai Islam diperkenalkan. Prinsip dan amalan nilai Islam juga diterapkan dalam pentadbiran. Usaha membanteras rasuah juga dijalankan. Program membasmi kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan produktiviti, mewujudkan masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi keluarga, penekanan kepada pendidikan dan pencapaian ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Semua ini adalah usaha ke arah menjamin pemeliharaan harta benda.
Hadis Rasulullah yang bermaksud:
”Abdullah bin Omar berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia mati syahid.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari )
                      Berdasarkan maksud masyarakat majmuk yang telah dinyatakan di awal perbincangan tadi iaitu masyarakat majmuk ialah masyarakat yang mengandungi beberapa kumpulan etnik yang hidup berdampingan dan tinggal bercampur gaul, tinggal dalam satu unit politik yang sama tetapi hidup cara berasingan dan tidak bersatu padu dan mempunyai budaya yang tersendiri, tentunya ia memerlukan gabungan nilai yang dapat diterima oleh semua pihak bagi menjamin keharmonian dan membentuk masyarakat yang bersatupadu. Keharmonian dan masyarakat yang bersatupadu, sentiasa bekerjasama serta saling memahami antara satu sama lain akan menjamin perkembangan intelektual, politik, kerohanian, sahsiah dan ekonomi sesebuah negara dan masyarakatnya. Justeru itu Tamadun Islam yang berdasarkan lima prinsip utama iaitu memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara maruah dan keturunan serta memelihara harta yang kesemuanya berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah di mana dasar utamanya ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi manusia, adalah sangat sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk. Kesimpulannya Islam mengandungi gabungan nilai-nilai yang merupakan cara hidup dan bersifat universal sesuai diamalkan oleh semua orang.

Thursday, May 12, 2011

TAKRIF TAMADUN

TAKRIF TAMADUN

Perkataan ‘tamadun’ digunakan bagi menggambarkan kemajuan sesebuah masyarakat khausunya dari sudut ilmu pengetahuan dan fizikal. Dari perspektif semasa, perkataan ‘tamadun’ merujuk kepada pencapaian yang tinggi dalam sains dan teknologi (S&T) selari dengan penonjolannya dalam tamadun Barat. Perkataan tamadun itu sendiri adalah dari bahasa Arab yang telah diterima pakai dalam bahasa Melayu (dalam bahasa Indonesia istilah peradaban lebih popular penggunaannya). Dari sudut etimologinya ia berasal daripada kalimah maddana iaitu kata kerja merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi pekerti. Daripada perkataan ini diterbitkan perkataan madani yang merupakan sifat nama. Madani merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji. Kedua-dua perkataan maddana dan madani sendiri sebenarnya berasal daripada deen yang bermaksud agama, iaitu menggambarkan kehidupan beragama.
            Secara tidak langsung, pengertian tamadun menekankan dua perkara yang penting iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan perbandaran atau penempatan. Secara lebih sempurna, tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan (seperti S&T, kesenian, kesusasteraan dan lain-lain) yang tinggi, baik, halus dan sopan ke arah pembentukan peribadi dan komuniti yang memiliki personaliti, tatasusila dan budi pekerti yang terpuji untuk membentuk sebuah masyarakat atau negara bangsa.
               Selain daripada itu, perkataan yang sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk memberi maksud tamadun ialah civilization. Perkataan ini berasal daripada perkataan civitas dalam bahasa Latin yang bermaksud bandar atau kota. Seperti hadarah dan peradaban, civilization juga membawa maksud yang menekankan penggabungan antara ketinggian budaya dan kemajuan kebendaan.
                Di antara penulis yang boleh dianggap pelopor dalam bidang pengajian ini antaranya adalah Jurji Zaydan dan Farid Wajdi, di samping beberapa tokoh lain seperti Muhammad Abduh dan Malik Bennabi. Bagaimana pun penulis yang lebih awal mengupas dan mengenengahkan idea pengajian ketamasunan ini adalah Ibn Khaldun. Ibn Khaldun menggunakan istilah ‘umran bagi menjelaskan makna dan maksud tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya. Istilah tamadun diperkenalkan secara khusus bagi pengajian ini oleh Jurji Zaydan apabila beliau menerbitkan karyanya yang masyhur Tarikh al-Tamaddun al-Islami. Muhammad Abduh menggunakan istilah madaniyyah (daripada akar perkataan yang sama dengan tamaddun).
               Dalam korpus berbahasa Melayu pula, sekurang-kurangnya dua istilah yang sering digunakan iaitu “tamadun” dan “peradaban”. Kedua-dua istilah itu juga bukanlah kata asal bahasa Melayu. Kedua-duanya adalah pinjaman perkataan Arab. Dalam korpus penulisan   berbahasa Melayu, sebelum kedatangan Islam perkataan yang dugunakan bagi maksud peradaban adalah budaya yang bertunjang kepada ketinggian nilai dan kehalusan budi. Hal ini dicerminkan dalam adat resam dan tradisi bangsa Melayu zaman berzaman. Pada ketika ini kalimah Melayu yang sering digunakan bagi menggambarkan peningkatan kehidupan masyarakat ini adalah kemajuan atau pembangunan. Namun begitu perkataan maju dan kemajuan ternyata mempunyai konotasi yang jauh lebih sempit daripada tamadun. Sesudah kedatangan Islam istilah-istilah bahasa Arab diguna dengan meluas dan kemudiannya diiktirafkan dan diterima pakai sebagai perkataan atau istilah Bahasa Melayu.

Monday, May 9, 2011

Ibnu Rush

Ibnu Rusyd

         Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.       Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.       Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.       Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.       Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusy dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.       Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.       Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya         Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.         Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.         Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd termasuklah "Kulliyah fit-Thibb" yang mengandungi 16 jilid, mengenai perubatan secara umum, Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari'a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.         Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga usaha untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa lain. Buku "Kulliyah fit-Thibb" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua.         Kemudian buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul General Rules of Medicine. Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan bukan sekadar terpengaruh oleh falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham daripada pembacaan karyanya.         Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance di Perancis sehingga merobah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd keranapemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah mencetuskan revolusi di benua Eropah.         Pemikirannya memungkinkan masyarakat di sana keluar daripada zaman kegelapan menuju era kemajuan industri yang pesat. Hospital Les Quinze-Vingt yang juga merupakan hopital pertama di Paris didirikan oleh Raja Louis IX berdasarkan model hospital Sultan Nuruddin di Damsyik yang kaedah perubatannya merupakan hasil daripada idea dan pemikiran Ibnu Rusyd.         Ibnu Rusyd juga telah menulis sebuah buku mengenai muzik yang diberi judul "De Anima Aristoteles" (Commentary on the Aristotle's De Animo). Hasil karyanya ini membuktikan betapa Ibnu Rusyd begitu terpengaru dan tertarik oleh ilmu logik yang dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle.         Pembicaraan falsafah Ibnu Rusyd banyak tertumpu pada persoalan yang berkaitan dengan metafizik, terutamanya ketuhanan. Beliau telah mengemukakan idea yang bernas lagi jelas, dan melakukan pembaharuan semasa membuat huraianya mengenai perkara tersebut.         Pembaharuan ini dapat dilihat juga dalam bidang perubatan apabila Ibnu Rusyd memberi penekanan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Beberapa pandangan yang dikemukakan dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja.         Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di dalam tubuh manusia.         Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Ibnu Rusyd turut menjangkau bidang yang berkaitan dengan kemasyarakatan apabila beliau cuba membuat pembahagian masyarakat itu kepada dua golongan iaitu golongan elit yang terdiri daripada ahli falsafah dan masyarakat awam.         Pembahagian strata sosial ini merupakan asas pengenalan pembahagian masyarakat berdasarkan kelas seperti yang dilakukan oleh ahli falsafah terkemudian, seperti Karl Max dan mereka yang sealiran dengannya.        Apabila melihat keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, maka tidak syak lagi beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya.

Ibnu Sina Tokoh Tamadun Islam Yang Unggul

Ibnu Sina

        Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.
        Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
        Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
         Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan diRom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan
         Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.
         Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.

         Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
         Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.
         Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
         Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.
          Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
           Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
           Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.
           Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.
           Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.

          Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
         Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
         Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi.

Masjidil Haram

Cantiknye.tak terfikir indah begini. Masyaallah

Masjid-i-Nabavi, Madinah City

Maha Suci Allah. Tepegun ana.

After-Hajj-തിരക്കൊഴിയുന്ന  മഹാനഗരം

Followers