ISLAMISASI
ALAM MELAYU
Islam telah berperanan mencorakkan masyarakat Melayu di Alam
Melayu ke arah yang lebih dinamik dan berdaya maju. Penggerak Islamisasi yang
dimulakan oleh mubaligh dari luar Alam Melayu telah disambung kemudiannya oleh
mubaligh Melayu tempatan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan suku kaum.
Semuanya merasa bertanggungjawab menyebar dan memahamkan Islam kepada
masyarakat setempat.
Kejayaan peranan Islam ini digariskan pada faktor-faktor pemangkin
Islamisasi di Alam Melayu, antaranya seperti berikut;
1
Keunggulan dan Kemurnian Islam
Ajaran Islam bersifat syumul dan menepati keperluan manusia kerana
ia diwahyukan oleh Allah SWT Penerimaan yang terbatas di kalangan penduduk Alam
Melayu pada peringkat awal penyebaran Islam bukanlah kerana mereka tidak
berminat dengan ajaran Islam tetapi kerana tiada interaksi yang menyeluruh
dengan penduduk tempatan. Pada peringkat awal, interaksi hanya berlaku secara
langsung di kalangan raja-raja dan para pedagang menyebabkan penyebaran Islam
terhad di kalangan golongan ini sahaja.
Setelah pengaruh Islam meluas, Islam diterima baik oleh masyarakat
tempatan kerana ajarannya yang bersesuaian dengan fitrah manusia, mudah
difahami dan senang dilaksanakan. Ajaran Islam difahami penuh dengan
nilai-nilai murni. (Azam Hamzah 1997: 16 ) Islam bukan sebuah agama yang rumit
seperti Buddha dan Hindu yang hanya dapat dipelajari oleh golongan tertentu
sahaja seperti sami dan pendeta. Konsep keesaan Allah S.W.T. juga menarik minat
penduduk tempatan. Mereka merasa puas kerana dapat menyembah Tuhan secara
langsung dan tidak mengira tempat. Keyakinan ini jauh berbeza dengan agama
anutan masyarakat Alam Melayu sebelum ini. Penjelasan Islam yang turut
menggabungkan wahyu dan logik akal berkaitan semua bidang kehidupan sama ada
sosial, ekonomi dan politik menambah minat penduduk di rantau Alam Melayu.
(Mahayddin Hj. Yahaya 1996: 563-564 )
Ajaran Islam juga menekan konsep persamaan antara sesama manusia.
Ajaran ini membebaskan mereka dari belenggu perhambaan. Selain itu, Islam turut
menjamin keadilan sosial tanpa mengira kelas dan darjat manusia. Jaminan ini
seolah-olah mengembalikan harga diri mereka yang sekian lama dibelenggu dengan
fahaman kasta dalam ajaran Hindu. (Azam Hamzah 1997: 16)
2 Peranan
Pembesar/pemimpin
Masyarakat Melayu mempunyai tradisi taat kepada pemerintah.
Tradisi warisan ini dikenali sebagai ”daulat” dan ”derhaka”. Tradisi ini lahir
daripada konsep pendewaan kepada pemerintah yang merupakan satu doktrin
dewaraja dalam agama Hindu. Tradisi taat kepada pemerintah yang telah tertanam
dalam jiwa masyarakat Alam Melayu menjadikan masyarakat tempatan mengikut
setiap tindakan pemerintah tanpa bantahan dan perdebatan. Hal ini turut terjadi
apabila pemerintah Melayu menerima agama Islam, semua lapisan masyarakat
mengikut jejak pemerintah atau raja tanpa persoalan.
Contoh yang jelas dapat dilihat pada pengislaman rakyat di Melaka,
Kedah dan Patani. Sejarah Melayu mengesahkan bila Raja Kecil Besar memeluk
Islam, rakyat pun turut mengikut jejak langkah baginda. Begitu juga cerita
Hikayat Merong Mahawangsa mengenai pengislaman Kedah dan Hikayat Patani
mengenai pengislaman Patani. (Mahayuddin Hj. Yahaya, 1996: 562)
3 Perkahwinan.
Faktor perkahwinan turut menyumbang kepada penyebaran Islam di
rantau ini. Perkahwinan yang berlaku antara pedagang Islam dengan penduduk
tempatan berlaku ketika pedagang Islam menunggu ketibaan musim tiupan angin ke
arah yang dituju. Penantian ini mengambil masa beberapa bulan lamanya. Syarat
perkahwinan yang dijelaskan oleh pedagang Islam sudah pasti seorang wanita
mestilah satu agama dengan anutan pedagang. Justeru itu wanita tempatan
mestilah menerima Islam terlebih dahulu. Syarat ini mudah diterima oleh wanita
dan keluarga masyarakat tempatan Alam Melayu. Ini kerana para pedagang mampu
menjamin kehidupan wanita tempatan yang telah menjadi isteri pedagang Islam
dengan perdagangan yang dimiliki. Status pedagang juga merupakan golongan yang dikagumi
oleh penduduk tempatan. Pengislaman wanita yang menjadi isteri pedagang Islam
mendorong pengislaman ahli keluarga wanita tersebut. Situasi ini memberi satu
perkembangan baru ke arah penyebaran Islam secara lebih luas.
Perkahwinan pedagang Islam juga berlaku dengan puteri-puteri
pemerintah tempatan. Peristiwa ini memudahkan lagi penyebaran Islam di rantau
Alam Melayu. Selain itu, terdapat juga perkahwinan antara wanita Islam dengan
lelaki bukan Islam. Contoh yang jelas dapat dilihat pada perkahwinan Megat
Iskandar Shah dengan Puteri Pasai. (Ibid) Justru itu jelaslah bahawa Islam
faktor perkahwinan ini turut memainkan peranan penting di dalam penyebaran
Islam di Alam Melayu.
4 Politik
dan Penaklukan.
Faktor ini diterima oleh kebanyakan sejarawan Barat, walaupun
sejarawan Islam menolak faktor ini sebagai faktor perkembangan Islam di Alam
Melayu. Penyebaran Islam tidak berlaku melalui peperangan, walaupun seolah-olah
kelihatan peristiwa peperangan di satu-satu wilayah baru yang dimiliki oleh
tentera Islam. Sebagai contohnya, penaklukan Melaka ke atas Pahang seperti yang
tercatat dalam buku Sejarah Melayu. Penaklukan ini bukanlah bertujuan untuk
mengislamkan Pahang, tetapi cenderung kepada matlamat politik dan ekonomi
kerana Pahang merupakan sebuah wilayah yang kaya dengan emas. Pengislaman
Pahang berlaku kerana usaha dakwah dan perdagangan antara kedua negeri tersebut
yang telah berada di bawah satu pemerintahan. Selain itu, konsep taatkan
pemerintah juga menjadi sebab mereka mudah menerima Islam.
Contoh lain ialah kejayaan Kerajaan Islam Demak menawan Kerajaan
Majapahit dan mengambil alih pemerintahan kerajaan di timur Pulau Jawa.
Penawanan ini memberi kesan kepada pengislaman hampir seluruh rakyat di bawah
jajahan takluk Kerajaan Majapahit. Hakikat pengislaman bukanlah berlaku kerana
peperangan, penaklukan dan penawanan yang menggambarkan paksaan, tetapi faktor
kesetiaan terhadap pemerintah yang menjadi dorongan utama tindakan masyarakat
rantau Alam Melayu secara beramai-ramai nmenerima Islam sebagaimana yang
dilakukan oleh pemerintah mereka (Ibid).
Jelaslah di sini bahawa Islam bukanlah tersebar dengan mata pedang
sebagaimana dakwaan para orientalis tetapi didorong oleh faktor lain
sebagaimana yang telah dijelaskan.
5
Perdagangan
Perdagangan yang menjadi sumber rezeki para pedagang Islam telah
menyampaikan mereka ke laluan laut di rantau Alam Melayu. Para pedagang
berusaha mencari rezeki melalui perdagangan dengan merentasi samudera yang luas
hanya untuk memenuhi tuntutan agama Islam yang menegaskan 9/10 daripada rezeki
terkandung dalam bidang perniagaan. Dengan berbekal iman dan fahaman agama
Islam yang mantap, golongan saudagar belayar ke mana-mana pelabohan yang
menjanjikan perniagaan. Bekal iman yang teguh ini menjadi pendorong untuk
saudagar muslim turut bertindak sebagai mubaligh Islam. Marco Polo dalam
catatan pengembaraannya memberi contoh pengislaman Alam Melayu menerusi faktor
ini ialah pengislaman Perlak pada 1292M. Para pedagang Islam telah berjaya
menawan hati kebanyakan penduduk Perlak sehingga mereka rela menganuti Islam.
(Ibid) Selain itu peranan pegawai perdagangan dalam wilayah-wilayah Islam di
Alam Melayu seperti peranan Syahbandar Melaka yang memberi layanan istimewa
kepada pedagang Islam turut menyumbang ke arah pengislaman para pedagang lain
yang berdagang di pelabuhan-pelabuhan wilayah kerajaan Islam. Sebagai
contohnya, pengislaman pedagang dari Brunei, Ternate, Jawa dan Sulawesi terjadi
kerana peranan Syahbandar Melaka. (Ibid )
Walaupun pengislaman menerusi faktor ini tidak meluas dan terhad
di kalangan pedagang, kota dan pelabuhan sahaja tetapi ia turut mendorong ke
arah proses Islamisasi di rantau Alam Melayu ini.
6.
Pendakwahan.
Pendakwahan para ulama dan ahli sufi merupakan faktor penyebaran
yang lebih meluas dan berkesan. Curahan bakti mereka diakui dan tidak dapat
dinilai dengan material. Para ulama dan ahli sufi telah bertindak sebagai ejen
perubahan yang memperkenalkan akidah baru di Alam Melayu. Dakwah mereka dapat
dijalankan dengan mudah kerana dibantu oleh akhlak mulia yang dipenuhi dengan
sifat-sifat kerohanian. Selain itu, para ulama dan ahli sufi mudah bergaul
dengan masyarakat tempatan. Mereka mempunyai keperibadian yang sesuai dengan
ajaran Islam. Situasi ini memudahkan lagi proses Islamisasi di rantau ini.
(Afifah Abu Yazid, 2003: 10)
Usaha penyebaran dakwah oleh golongan ini begitu cergas pada zaman
pemerintahan Khalifah Umar b. Abdul Aziz. Baginda telah menghantar para
pendakwah ke seluruh pelosok dunia termasuk rantau Alam Melayu. Sekitar tahun
720 M, utusan baginda telah berjaya mengislamkan kerajaan Suwarnabhumi atau
Melayu Jambi ( San-fo-tsi ) dan setelah menerima Islam kerajaan ini dikenali
sebagai Sribuza Islam. Pada 820 M pula serombongan pendakwah yang diketuai oleh
Nakhoda Khalifah telah sampai di Perlak dan berjaya mengislamkan pemimpin dan
penduduk di situ. (Ibid)
Pergolakan dunia Islam pada abad 10 M di bawah pimpinan kerajaan
Bani Abbasiyah yang telah melemahkan empayar Islam telah mendorong sebilangan
masyarakat Islam terutama ahli sufi mengasingkan diri dari situasi ini dan
keluar dari Semenanjung Tanah Arab. Mereka telah berusaha menyebarkan Islam
secara tidak langsung ke mana-mana wilayah yang aman diduduki termasuklah Alam
Melayu. Kegiatan mereka begitu rancak pada abad 13M dan selepasnya.
Golongan ini menggunakan pendekatan pendidikan. Melaui pendekatan
ini mereka telah menubuhkan institusi pendidikan yang disesuaikan dengan
masyarakat setempat. Antara institusi pendidikan yang terkenal di wilayah
Afrika Utara ialah zawiyah, khawanik dan rabt. Usaha ahli sufi menjalankan
pendidikan formal di rantau Alam Melayu pula banyak berlaku di masjid atau di
rumah mereka. Mereka berusaha menyampaikan dan mengajar masyarakat setempat
mengenai agama Islam. Pendidikan ini akhirnya berkembang menjadi institusi
pendidikan khusus yang dikenali dengan pelbagai nama di Alam Melayu seperti
pondok, langgar, pesantren dan dayah. Kesan dakwah menerusi penubuhan institusi
pendidikan telah melahirkan ramai alim ulama tempatan atau ulama Melayu. Antara
yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf
al-Singkeli, Abdul Samad al-Palembani, Wali Songo, Daud Fatani dan lain-lain.
(Ibid, lihat juga Azhar Mad Aros, 2002: 273)
7.
Persaingan Penyebaran Agama
Faktor ini merupakan kesan daripada kedatangan kuasa Barat ke Asia
dan jelas berlaku pada abad ke-16 hingga 19 M. Faktor ini adalah rentetan
peristiwa Perang Salib yang berlaku pada abad 15 -16 M di Turki. Dalam
perkembangan ini, sesetengah penguasa agama Kristian di Barat masih mempunyai
rasa permusuhan yang berterusan dengan penganut agama Islam. Pada abad 15 dan
16 M kuasa-kuasa Barat seperti Portugis telah memulakan pelayaran ke timur dan
mendapati pengaruh Islam telah lama bertapak di sebahagian besar wilayah di
Asia. Dengan anggapan Barat lebih kuat, Portugis telah melakukan tindakan
drastik dengan melakukan penyerangan secara terbuka ke atas wilayah-wilayah
Islam di Asia. Tindakan ini menyebabkan wujudnya pertentangan secara terbuka
antara masyarakat Asia, khususnya penganut Islam dengan kuasa tersebut. (Azhar
Hj Mad Aros, 2002: 272) Keadaan tersebut merangsang umat Islam melipatgandakan
usaha dakwah. Kesannya, Islam bukan sahaja menjadi elemen penting dalam
menyatupadukan seluruh umat khususnya di Alam Melayu, tetapi juga sebagai
slogan untuk berjihad menentang kuasa penjajah Kristian. (Azam Hamzah, 1997:
18)
Persaingan dalam menyebarkan agama Kristian dan Islam ini
berterusan sebagaimana yang digambarkan dalam kes-kes penyebaran Islam di
bahagian pedalaman Pulau Maluku, Ternate, Sumatra dan sebagainya. (Azhar Hj Mad
Aros, 2002: 272) Dengan adanya ancaman agama ini, usaha dakwah Islamiah lebih
giat dijalankan dan memberi kesan kepada penyebaran Islam dengan lebih pantas
dan menyeluruh.
Selain faktor-faktor di atas terdapat juga beberapa faktor lain
seperti penulisan dan kesusateraan. (Azam Hamzah, 1997: 22) Dari segala
perbincangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa penerimaaan dan penyebaran
Islam di rantau Alam Melayu didorong oleh pelbagai faktor. Antara yang
terpenting dan paling berkesan ialah faktor ajaran Islam. Faktor ini menjadikan
masyarakat rantau Alam Melayu mudah menerima Islam dan faham kenapa mereka
menerima Islam dan apakah tanggungjawab mereka sebenarnya. Peranan pendakwahan
turut membantu mereka lebih memahami tasawur Islam yang sebenar. Di samping itu
faktor-faktor lain juga tidak kurang pentingnya kerana ia saling kait mengait
di antara satu sama lain.
Islam telah sampai di rantau Alam Melayu sejak zaman pra-Islam
lagi dan seterusnya berlanjutan selepas kelahiran Islam. Walaupun terdapat
berbagai teori mengenai kedatangannya di rantau ini, teori Islam datang dari
Arab/Parsi adalah lebih kukuh. Teori ini bukanlah menafikan peranan yang
dimainkan oleh pendakwah dari tempat lain kerana ajaran Islam menyeru semua
penganutnya mengembangkan Islam tanpa mengira asal, bangsa dan keturunan.
Penyebaran Islam di rantau ini juga telah melalui beberapa tahap hingga ia
berjaya tersebar ke seluruh pelusuk rantau ini sebagaimana yang kita saksikan
hari ini. Faktor pemangkin Islamisasi di rantau Alam Melayu juga turut
berkembang dan sentiasa muncul dalam bentuk baru sesuai dengan fenomena semasa.
Saya ambil ye. Terima kasih.
ReplyDelete