Kedatangan
Islam ke Alam Melayu
Terdapat pelbagai teori yang diutarakan oleh sejarawan mengenai
kedatangan Islam ke Alam Melayu. Para sejarawan tempatan cenderung mengatakan
Islam telah datang ke rantau ini sejak abad 7 M dengan usaha para mubaligh dari
Semenanjong Tanah Arab. Sebilangan besar sejarawan Barat pula menegaskan
kedatangan Islam ke rantau ini
berlaku pada penghujung abad 13 M
dan di sepanjang abad 14 M, iaitu kira-kira antara tahun 1292 hingga 1390 M.
Golongan yang bertanggungjawab membawa Islam pada tahun-tahun ini ialah
saudagar-saudagar India dan China. (Azam Hamzah, 1997: 3)
Secara umumnya terdapat tiga teori mengenai kedatangan Islam ke
Alam Melayu. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:
1 Teori
Dari India
Teori ini dipelopori oleh Snouck Hurgronje dan mendapat sokongan
dari kebanyakan sejarawan orientalis seperti R.O.Winstedt, B. Harrison,
Mouquette, D.G.E.Hall, J. Gonda, Marrison, Bousquet, Vlekke dan sebagainya.
Snouck menyatakan di dalam bukunya Islam di Hindia Belanda bahawa:
Setelah sebahagian bangsa India memeluk Islam, maka orang-orang
Islam dari India turut mengambil bahagian lalu lintas dan imigrasi di
Nusantara, dan mereka itulah yang memasukkan Islam ke wilayah Nusantara.
Antara hujah yang digunakan untuk mengukuhkan teori ini adalah
seperti berikut:
1. Batu-batu nisan awal yang dijumpai di Alam Melayu diimport dari
Kambay (Kembayat ) Gujerat, India.
2. Peranan penting yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Gujerat
di Kepulauan Melayu dan kesannya terhadap penyebaran Islam.
3. Tradisi kesusasteraan Melayu mirip kepada tradisi Islam di
India.
Selain dari itu, mereka juga bergantung kepada catatan pengembara
seperti Marco Polo dan Ibn Batutah yang pernah melawat Alam Melayu sekitar abad
13 dan 14 M. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558) Dalam catatan Marco Polo ketika
singgah di Sumatera pada tahun 1292 M, beliau menyaksikan penduduk Perlak telah
memeluk Islam, sedangkan penduduk samudera lain masih lagi belum menerima
Islam. Catatan Ibn Batutah pula menyebutkan beliau telah melawat Pase (Pasai)
pada tahun 1345 M dan mendapati penduduknya telah beragama Islam. (Azam Hamzah,
1997: 4)
Hujah golongan ini bertambah kukuh dengan penemuan makam Sultan
Malik al-Salleh, pemerintah Pasai yang disebut dalam Sejarah Melayu dan Hikayat
Raja-raja Pasai sebagai pemerintah pertama di Kepulauan Melayu sekitar abad
ke-13 M. Penemuan ini meyakinkan mereka bahawa Islam tersebar di Alam Melayu
hanya pada sekitar abad tersebut. (Mahayudin Hj Yahaya, 1996: 558)
Teori ini mempunyai beberapa kelemahan. Malah kajian terkini
mempunyai hujah yang lebih kukuh untuk menyatakan bahawa interaksi Alam Melayu
dengan Semenanjong Tanah Arab telah berlaku lebih awal lagi, khususnya sebelum
kemunculan Islam. Antara kelemahan teori ini adalah seperti di bawah:
1. Hujah menyatakan batu-batu nisan yang dijumpai di Kepulauan
Melayu menyerupai atau dibawa dari India sebagai bukti Islam dibawa dari India
adalah tidak tepat. Ini kerana batu nisan merupakan salah satu barang dagangan
yang mungkin diperdagangkan oleh pedagang India.
2. Adalah tidak tepat untuk menyatakan hanya pedagang India sahaja
yang berdagang di Kepulauan Melayu sehingga terpaksa menunggu mereka memeluk
Islam terlebih dahulu sebelum kawasan ini diislamkan. Malah terdapat juga
pedagang lain seperti dari Arab. Ini adalah berdasarkan pendapat J.C.Van Leur
bahawa telah ada penempatan Arab di Canton, China sejak abad 4 M lagi. Pedagang
Arab yang melalui jalan laut singgah ke pelabuhan-pelabuhan di Kepulauan Melayu
untuk mendapatkan bekalan atau menunggu musim angin yang sesuai untuk
meneruskan pelayaran sambil berdagang.
3. Tradisi kesusasteraan Islam di kepulauan Melayu mirip tradisi
Islam India juga tidak dapat diterima kerana perkembangan tradisi sastera agak
lewat, iaitu setelah Islam lama bertapak di kawasan ini. (Mahayudin Hj Yahaya,
1996: 558 )
Selain itu, terdapat juga perselisihan pendapat di kalangan para
sejarawan mengenai daerah di India yang memainkan peranan menyebarkan Islam ke
Alam Melayu. Daerah-daerah yang menjadi bahan perdebatan adalah seperti
berikut:
1. Gujerat
Daerah ini dikemukan berdasarkan kajian G.P. Moquette. Menurut
kajian beliau, terdapat persamaan dua batu nisan di Kepulauan Alam Melayu,
iaitu batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428 M dan batu nisan Maulana Malik
Ibrahim di Grisek bertarikh 1419 M dengan batu nisan Umar ibn Ahmad Kazarumi di
Gujerat. Teori ini disokong oleh beberapa pengkaji barat yang lain seperti W.P.
Stuterheim, J. Gonda dan C.A.O. Van Nieuwenhuijze.
Walau bagaimanapun teori ini juga mempunyai kelemahan yang jelas,
antaranya tarikh pengislaman Pasai lebih awal daripada tarikh yang tercatat
pada batu nisan yang ditemui. Pasai telah menerima Islam pada tahun 1042 M
sedangkan Gujerat ketika itu belum menerima Islam lagi. Selain itu, persamaan
batu nisan di Alam Melayu dengan Gujerat boleh menunjukkan batu nisan mudah
dipesan dari Gujerat, bukan sebagai bukti Islam disebarkan dari Gujerat. ( S.M.
Naquib Al-Attas 1972 : 33 )
2. Benggala
S.Q.Fatimi pula membuat hipotesis Islam berasal dari Benggala.
Beliau bersandarkan kajian Tome Pires dalam bukunya berjudul Suma Oriental.
Menurut Tome Pires, Malik al-Salih yang merupakan sultan Islam pertama di Pasai
adalah seorang pedagang Benggali yang berasal dari Benggala. Berdasarkan
pandangan ini, Fatimi menyimpulkan Islam juga berasal dari Benggala. Selain
itu, S.Q. Fatimi juga beranggapan pendapat Tomes Pires sejajar dengan tanggapan
yang menegaskan Pasai adalah negeri pertama di Alam Melayu yang menerima Islam.
Teori ini juga boleh disanggah dengan jawapan berikut:
Pertama: Raja Pasai yang pertama adalah Meurah Giri atau Sultan
Mahmud Syah yang mula memerintah pada tahun 1042 M.
Kedua: Asal usul Malik al-Salih dari Benggala juga tidak mempunyai
bukti yang kukuh.
3. India Selatan
Pendapat ini dikemukakan oleh Van Ronkel dengan alasan bahawa
bentuk-bentuk popular dalam budaya masyarakat Islam di Kepulauan Alam Melayu
seperti ciri-ciri mistik, sastera roman dan sebagainya seperti yang terdapat di
Indonesia berasal dari India Selatan.
4. Malabar
Antara pendukung teori ini ialah Thomas Arnold. Beliau berdasarkan
persamaan mazhab Shafie antara masyarakat Islam Malabar dengan masyarakat Islam
di Indonesia.
Kedua-dua teori yang mengatakan Islam berasal dari India Selatan
dan Malabar tidak mempunyai asas yang kukuh kerana ajaran Islam yang berkembang
di India pada ketika itu memang merupakan fenomena dunia Islam keseluruhannya,
sama ada dari segi pemikiran fikah mahupun tasawuf. (Abdul Rahman Haji
Abdullah, 1990 : 44-45 )
Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1990) dalam bukunya Pemikiran
Umat Islam Di Nusantara kelemahan terbesar pendukung teori ini ialah anggapan
mereka bahawa agama Islam di Alam Melayu hanya bertapak pada abad ke-13 M,
sedangkan Islam telah bertapak sejak abad pertama hijrah lagi iaitu sejak 7
masihi lagi. Walau bagaimanapun, tidaklah dinafikan para mubaligh dari India
turut memainkan peranan aktif dalam proses Islamisasi di Alam Melayu terutama
pada abad ke-13 M.
No comments:
Post a Comment