Pencapaian
Tamadun Melayu
Pencapaian Tamadun Melayu menjadikan bukti kegemilangan Melayu
pada lembaran sejarah silam. Atas kegemilangan ini Melayu terus membina wawasan
dan menetapkan jati diri Melayu. Pencapaian ini dibuktikan dalam bentuk catatan
tulisan, peninggalan seni bina dan artifak lain yang boleh disaksikan hingga
hari ini. Pencapaian ini juga menggambarkan masyarakat Melayu mampu berdikari,
berusaha dan berhadapan dengan segala kemungkinan dan perubahan.
Pencapaian ini akan dilihat dari segala aspek yang boleh
dirangkumkan kepada tiga kategori, iaitu pencapaian material (benda),
intelektual (ilmu pengetahuan) dan spritual (agama/ kepercayaan).
1 Kerajaan
dan Sistem Pemerintahan
Kerajaan dan sistem pemerintahan menjadi tunggak sebuah masyarakat
dan memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun. Sesetengah kerajaan
Melayu mengisytiharkan kerajaan dan pemerintahan mereka sebagai Kesultanan,
seperti yang diamalkan oleh Kesultanan Melayu Melaka. Ini sempena gelaran yang
diguna pakai oleh jawatan pemerintah, iaitu sultan. Selain itu, pengisytiharan
ini juga sebagai menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan Melayu tersebut berteras
kepada ajaran Islam.
Terdapat banyak kerajaan Melayu yang dibina oleh masyarakat Melayu
dalam siri kegemilangan Tamadun Melayu. Kerajaan-kerajaan ini dikenal di
seluruh Alam Melayu mahupun di luar rantau ini. Antara kerajaan-kerajaan
tersebut adalah seperti berikut:
1.1.1 Kerajaan Sribuza Islam, Palembang.
1.1.2 Kerajaan Samudera-Pasai di Pasai, Aceh, Sumatera Utara.
1.1.3 Kerajaan Melayu Melaka.
1.1.4 Kerajaan Islam Demak, Banten, Ceribon di Pulau Jawa.
1.1.5 Kerajaan Aceh Darussalam.
1.1.6 Kerajaan Pattani, Selatan Thailand.
1.1.7 Kerajaan Buton, Ternate di Sulawesi.
1.1.8 Kerajaan Melayu Johor-Riau.
Setiap kerajaan ini mempunyai sistem pemerintahan masing-masing
yang berasaskan undang-undang Islam. Sistem pemerintahan yang diguna pakai
ditulis pada naskhah-naskhah Melayu dan batu bersurat (prasasti). Sebagai
contohnya, Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka diguna pakai dalam
sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Kanun Meukuta Alam dilaksanakan
dalam Kerajaan Melayu Aceh Darussalam, Undang-undang Kedah dilaksanakan dalam
Kerajaan Melayu Kedah, Hukum Kanun Pahang termaktub dalam sistem pemerintahan
Kerajaan Melayu Pahang dan Undang-undang 99 diguna pakai dalam Kesultanan
Melayu Perak.
2 Ekonomi
Tamadun Melayu berjaya menggerakkan ekonomi orang Melayu ke
persada serantau dan antarabangsa. Walaupun Tamadun Melayu awal belum
mengamalkan sistem perindustrian secara besar-besaran, namun kegiatan
perekonomian yang berpusat di pelabuhan-pelabuhan Alam Melayu telah berjaya
menjadi pusat import eksport yang maju di rantau Asia. Antara
pelabuhan-pelabuhan yang muncul dalam Tamadun Melayu ialah Pasai, Melaka, Aceh,
Demak, Betawi, Terengganu, Ligor dan Johor. Pelabuhan ini ditadbir urus dengan
baik oleh pemerintah Melayu. Sebagai contohnya, Sultan Muzaffar Shah dalam
Kesultanan Melayu Melaka telah menubuhkan satu jawatan khas untuk memantau
kegiatan di pelabuhan menerusi jawatan Shah bandar.
Kegiatan perdagangan yang rancak di pelabuhan-pelabuhan Alam
Melayu memberi kesan kepada kemunculan bandar dan kota yang lengkap dengan prasarana.
Masyarakat pedalaman tidak ketinggalan memanfaatkan kemunculan pekan dan
bandar. Mereka menuju ke pekan dan bandar untuk memasarkan hasil pertanian,
ternakan, hasil tangkapan dan hasil kreatif. Tanpa disedari situasi ini
membuktikan masyarakat Melayu telah menuju ke arah masyarakat bandar yang
berdaya maju dan berdaya saing.
Kepesatan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu turut menyemarakkan
pertumbuhan kemasyarakatan yang lain seperti budaya dan seni, intelektual, reka
cipta dan pemerintahan. Masyarakat Melayu juga telah menerima beberapa budaya
luar yang sesuai dengan sifat kemelayuan, seperti dalam pembentukan bentuk
bumbung bertingkat yang merupakan unsur seni bina Cina. Malah bumbung bentuk
ini digunakan pada masjid masyarakat Melayu. Contoh yang paling jelas dapat
dilihat pada masjid Tengkera di Melaka dan masjid Kampong Laut di Kelantan.
Demikian juga penggunaan warna merah dalam seni masyarakat Melayu berasal dari
budaya Cina. Bahasa Melayu turut berkembang dengan penerimaan bahasa-bahasa
asing yang telah disebatikan dengan Bahasa Melayu. Bahasa asing yang paling
luas pengaruhnya dalam pembentukan bahasa Melayu ialah Bahasa Arab.
Kegiatan ekonomi dalam Tamadun Melayu telah mencapai tahap
cemerlang dengan penggunaan mata wang. Pemerintah Melayu telah berjaya mencipta
mata wang yang digunakan dalam perdagangan, terutamanya di pelabuhan. Antara
mata wang yang dapat dikesan ialah mata wang Kesultanan Melayu Melaka dan
Kesultanan Aceh Darussalam.
3
Pendidikan
Pendidikan di kalangan masyarakat Melayu terbahagi kepada dua.
Pendidikan formal dan informal. Pendidikan formal melahirkan pelbagai institusi
pendidikan yang banyak di Alam Melayu. Pendidikan bentuk ini di awali oleh
pendidikan ajaran Islam. Sistem pendidikan dan kurikulum juga berteraskan kepada
bidang pengajian Islam seperti tauhid, fiqah, akhlak, tafsir dan sejarah Islam
(Mohd Salleh Lebar, 1990).
Pendidikan informal pula merupakan pendidikan yang berlangsung
dalam kehidupan bermasyarakat. Masyarakat menjadi pendidik bangsa. Pendidikan
ini berbentuk kemahiran berfikir, berusaha, berbudi pekerti, bijak membuat
tindakan, penghasilan teknologi, berpolitik dan bergiat cergas dalam ekonomi.
Tradisi lisan yang diwarisi turun temurun merupakan satu kaedah pendidikan
informal. Melalui tradisi ini, masyarakat dididik melalui pantun, syair,
hikayat, gurindam, seloka, nazam dan sebagai. Melalui tradisi ini juga,
masyarakat disindir, dihukum dan dinasihatkan melalui perumpamaan, perbidalan,
peribahasa dan simpulan bahasa.
Kewujudan pendidikan formal berteraskan pendidikan Islam dan bukan
berasaskan kemahiran dan teknologi melahirkan tanggapan negatif kolonialis
terhadap pendidikan masyarakat Melayu. Kolonialis tidak mengakui pendidikan
yang wujud di Alam Melayu sebagai satu sistem pendidikan, lantas mereka mendakwa
masyarakat Melayu adalah masyarakat buta huruf. Tanggapan ini mungkin bertolak
dari fahaman terhadap agama yang diterima pakai di Barat. Di Barat, agama
Kristian tidak melahirkan sistem pendidikan, malah segala perkembangan tamadun
Barat terpisah dari agama, seperti yang terangkum dalam maksud sekularisma.
Situasi ini berbeza dengan tamadun Melayu yang berasaskan ajaran Islam.
Pencapaian Tamadun Melayu dalam aspek pendidikan adalah seperti
berikut:
* Kewujudan institusi pendidikan agama Islam.
Institusi pendidikan agama Islam dimulai oleh istana dan
kemudiannya rumah-rumah ulama. Istana sebagai instutusi pendidikan hanya
dikhaskan untuk sultan, keluarga diraja dan ahli istana sahaja. Di samping itu,
para ulama turut membuka kelas-kelas pengajian di rumah mereka. Kelas-kelas
yang dibuka bersedia menerima masyarakat tanpa kelas. Apabila kecenderungan
mempelajari Islam semakin berkembang di kalangan masyarakat awam, maka
terbinalah institusi-institusi pendidikan Islam untuk masyarakat awam. Justeru
itu, situasi ini melahirkan penubuhan institusi pendidikan Islam di seluruh
Alam Melayu.
Kepelbagaian rumpun Melayu telah melahirkan pelbagai nama
institusi pendidikan Islam. Walau bagaimanapun semuanya mempunyai peranan yang
sama iaitu melahirkan ilmuan yang bertaqwa. Antara panggilan nama institusi
tersebut adalah seperti berikut:
* Masjid: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat.
* Madrasah/Meunasah: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di
Selangor, Perak dan beberapa tempat di Sumatera.
* Langgar: Pusat pembelajaran Islam yang terkenal di Kalimantan.
* Surau: Pusat ibadat dan pelbagai kegiatan masyarakat Islam.
* Pondok: Pusat pembelajaran Islam yang luas di Pattani, selatan
Thailand, Perak Utara, Kedah dan Kelantan.
* Pesantren: Pusat pembelajaran agama Islam yang berkembang luas
di Pulau Jawa.
* Dayah: Pusat pembelajaran agama Islam yang wujud di Aceh,
Sumatera. Dayah merupakan institusi tertinggi dalam pembelajaran Islam dalam
masyarakat Aceh. Sebelum sampai ke tahap ini, pendidikan Islam bermula di
peringkat meunasah, rangkang dan balee. Contoh Dayah yang paling terkenal ialah
Dayah Cot Kala di Aceh. Dayah ini telah melahirkan ramai ilmuwan Aceh seperti
Hamzah Fansuri, Shamsuddin Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel.
* Kecenderungan sultan menguasai pendidikan Islam.
Minat ini telah mendorong sultan mengarahkan ulama menulis dan
menterjemah kitab agama Islam dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Penterjemahan
ini berfungsi untuk menjelaskan ajaran Islam dan menjawab permasalahan
masyarakat dari perspektif Islam. Contoh-contoh berikut menggambar secara jelas
kecenderungan para sultan:
* Sultan Mansur Shah mempelajari kitab Dur al-Manzum (Sejarah
Melayu menulis dengan nama Dar al-Mazlum),
* Sultan Mahmud Shah mempelajari kitab al-Luma’ (dalam Sejarah
Melayu ditulis sebagai kitab Maklumat) karya Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi seorang
ulama tasawuf.
* Sultanah Safiatuddin di Aceh memohon Abdul Rauf Singkel
menjelaskan mengenai konsep kerohanian dalam Islam melalui karyanya Kifayah
al-Muhtajin ila Mashrab al-muwahhidin al-qailin bi Wahdat al-Wujud.
* Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Selangor) menjadi menjadikan
barisan ulama sebagai penasihat. Beliau juga menjadi khatib dalam solat jumaat.
* Kemunculan golongan intelektual Melayu.
Penumpuan golongan intelek Melayu zaman awal ialah kepada asas
agama dan falsafah kerana bidang ini memantapkan erti kehidupan dan jati diri
bangsa Melayu. Penyebaran secara meluas pemahaman dua aspek ini di kalangan
masyarakat Melayu menjamin penerusan generasi Melayu yang memahami tugas dan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat.
Antara intelek Melayu yang tercatat dalam sejarah ialah :
* Hamzah Fansuri
* Shamsuddin al-Sumatera’i
* Nuruddin al-Raniri
* Abdul Rauf Singkel
* Abdul Samad al-Palembani
* Yusuf Tajul Khalwati Makasar
* Muhamad Nafis al-Banjari
* Muhamad Arsyad al-Banjari
* Daud al-Fatani dan keturunannya.
* Kelahiran naskhah-naskhah Melayu atau manuskrip Melayu.
Naskhah-naskhah Melayu yang dihasilkan oleh golongan intelek
Melayu merangkumi segala aspek kehidupan masyarakat seperti perubatan, ilmu
falak (astronomi), undang-undang, pemerintahan (ketatanegaraan), pertanian,
pengetahuan Islam, sejarah Melayu dan kemasyarakatan. Sebagai contohnya,
naskhah perubatan berjudul Kitab Tib, naskhah undang-undang berjudul Hukum
Kanun Melaka, naskhah ketatanegaraan berjudul Bustan al-Salatin, naskhah
pertanian berjudul Pembukaan Kebun Kelapa di Pulau Kemili, naskhah agama Islam
dalam bidang tauhid berjudul Masa’il al-Mubtadi’ li Ikhwan al-Mubtadi’.
Naskhah Melayu mempunyai keunikan yang menampakkan identiti
bangsa. Antara keunikannya, ia ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi yang
berteraskan aksara Arab dengan beberapa penambahan. Naskhah ini ditulis pada
pelbagai bahan seperti pada daun lontar, kepingan buluh, kulit haiwan yang
telah disamak, kain dan kertas. Selain itu, naskhah Melayu mempunyai nilai
estetika yang tinggi. Penulis dan penyalin memaparkan daya kreatif yang tinggi
semasa menghasilkan karya. Ini terbukti dengan adanya ilustrasi dan seni hias
pada naskhah-naskhah Melayu. (Lihat gambarpada halaman 118)
4
Komunikasi
Komunikasi Alam Melayu terjalin melalui hubungan perdagangan,
diplomatik dan budaya. Komunikasi harmoni yang berjalan lancar mengukuhkan
ikatan Tamadun Melayu di Alam Melayu. Komunikasi ini banyak diasaskan kepada
polisi pemerintahan kerajaan dalam Tamadun Melayu. Hasilnya, para pemerintah
Melayu telah berjaya menjalin interaksi antara rumpun Melayu di seluruh wilayah
Alam Melayu dengan semangat persahabatan yang bermula melalui peluasan wilayah.
Sebagai contohnya:
* Kerajaan Melaka meluaskan pengaruh ke negeri-negeri di utara
Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Pulau Sumatera yang meliputi Inderagiri,
Siak, Kampar, Rokan dan lain-lain. Peluasan wilayah ini memberi laluan kepada
masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera menjalin hubungan
perdagangan dan budaya secara aman dan harmoni.
* Kerajaan Melaka mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan
dengan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa dan Dinasti Ming di Tanah Besar Cina.
* Kerajaan Aceh Darussalam mengadakan hubungan diplomatik dengan
kerajaan Pahang. Hubungan ini dikukuhkan dengan perkahwinan puteri Iskandar
Muda Mahkota Alam bernama Puteri Safiatuddin dengan putera Sultan Pahang
bernama Raja Ahmad.
* Kerajaan Aceh Darussalam turut mengadakan hubungan diplomatik
dengan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Para pemerintah Melayu juga telah mengadakan interaksi antara kaum
bukan Melayu khususnya dengan kuasa Eropah. Interaksi ini dibuktikan dengan
adanya surat-surat sultan Melayu kepada pegawai-pegawai British. Contohnya:
* Surat daripada Sultan Cakra Adiningrat dari negeri Madura kepada
Gabenor Ganeral Thomas Stamford Raffles di Betawi bertarikh 14 Muharam 1231 H,
* Surat Sultan Ratu Mahmud Badruddin dari Palembang kepada Thomas
Raffles Esquire di Melaka bertarikh 1 Rabiulawal 1226 H (1811 M).
* Surat Sultan Syarif Kasim ibni al-marhum Sultan Syarif Abdul
Rahman ibni al-Marhum Habib al-Husin al-Kadri dari Pontianak kepada Thomas
Raffles Esquire bertarikh 20 Safar 1226 H.
* Surat Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah dari Kedah kepada Thomas
Raffles di Melaka bertarikh 6 Rabiulawal 1226 H.
* Surat Yang Dipertuan Negeri Perak kepada Thomas Raffles Esquire
di Melaka bertarikh 28 Rabiulawal 1226 H.
5 Sastera
Sastera Melayu berbentuk prosa dan puisi. Prosa merupakan karya dalam
bentuk esei atau karangan untuk menjelaskan satu perkara. Puisi pula merupakan
karya yang memaparkan kemahiran bahasa dan penggunaan bahasa yang indah melalui
rima bunyi yang tertentu. Sastera prosa Melayu dapat dilihat pada naskhah
Melayu. Penulisannya meliputi pelbagai bidang seperti ketatanegaraan,
pemerintahan, perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu falak, petua dll.
(Lihat Katalog Manuskrip Melayu Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia) Sebagai
contohnya:
* Taj al-salatin,
* Bustan al-salatin,
* Sejarah Melayu,
* Hikayat Hang Tuah,
* Mir’at al-Tullab.
Puisi-puisi Melayu terdiri daripada beberapa genre. Antaranya
syair, pantun, gurindam, seloka, nazam dan sajak. Syair menghasilkan rima bunyi
akhir yang sama: a,a,a,a. Pantun pula menghasilkan rima bunyi rangkap 1 sama
dengan rangkap 3 dan rangkap 2 sama dengan rangkap 4: a,b,a,b. Pantun-pantun
Melayu terdiri daripada beberapa rangkap. Antaranya pantun dua rangkap. Ia juga
dikenali dengan pantun dua kerat. Pantun empat rangkap juga dikenali dengan pantun
empat kerat. Pantun enam rangkap juga dikenali dengan pantun enam kerat dan
pantun lapan rangkap dikenali dengan pantun lapan kerat. (Lihat Anas Hj. Ahmad)
Contoh pantun 2 kerat: Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri
Contoh pantun 4 kerat: Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi yang baik dikenang jua.
6
Kemahiran Pembuatan
Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kemahiran pembuatan
barang-barang keperluan. Setiap hasil kemahiran disematkan nilai falsafah
Melayu yang berteras kepada agama Islam. Selain itu, hasil-hasil kemahiran
masyarakat Melayu juga dipenuhi dengan nilai estetika yang tinggi. Antara
kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti berikut:
* Pembuatan rumah. Kemahiran membuat rumah di kalangan masyarakat
Melayu menyebabkan tukang-tukang Melayu mampu memberi identiti pada rumah-rumah
Melayu (Abdul Halim Nasir,1985). Antara identiti rumah Melayu seperti berikut:
* Bumbung seperti bumbung limas.
* Kepelbagaian ruang: Ruang induk/ ruang ibu, ruang tengah, ruang
dapur dan serambi atau beranda.
* Rumah panggung.
* Dilengkapi dengan seni hias pada tingkap, dinding, curu atap dan
lain-lain.
* Peralatan kelengkapan rumah. Masyarakat Melayu awal bijak
mengolah tanah liat untuk menghasilkan keperluan rumah seperti pinggan,
mangkuk, cawan, periuk, kuali dan sebagainya. Masyarakat Melayu di Perak
sebagai contohnya terkenal dengan hasil pembuatan Labu Sayung yang merupakan
satu bekas air yang dingin tanpa air batu. Semua keperluan ini diusahakan oleh
titik peluh sendiri. Demikian juga alat-alat perabot seperti almari, meja,
kerusi dan sebagainya. Masyarakat Melayu awal juga mampu menghasilkan sampan,
perahu, bot dan kapal untuk meredah lautan mencari rezeki. Mereka bekerjasama
dan berganding bahu menghasilkan keperluan harian.
* Pakaian: Masyarakat Melayu juga merupakan pereka fesyen yang
mampu bertahan lama. Fesyen-fesyen pereka Melayu jelas memaparkan identiti dan
jati diri bangsa Melayu. Contoh yang jelas ialah seperti baju Kurung, baju
Melayu, Kebaya, dan Busana Muslim. (Lihat Siti Zainon Ismail.)
* Peralatan menulis: Masyarakat Melayu juga pintar menghasilkan
kertas dari bahan yang tersedia di sekeliling mereka. Demikian juga dengan
alat-alat tulis daripada buluh dan sebagainya. Walaupun masyarakat Melayu tidak
menggunakan teknologi canggih dalam menghasilkan peralatan menulis tetapi
mereka mempunyai daya fikir dan inisiatif yang tinggi untuk menghasilkan
sesuatu barangan.
Kesimpulan
Tamadun Melayu mempunyai pelbagai pencapaian yang terbukti melalui
catatan naskhah, binaan atau bangunan, batu bersurat, karya2 seni dan sastera.
Ketinggian tamadunnya memaparkan jati diri dan identiti bangsa Melayu. Kejayaan
masyarakat Melayu silam mencorakkan tamadun dan budaya menyebabkan bangsa
Melayu menjadi satu rumpun bangsa yang dikenali, dihormati dan disanjung
tinggi. Tonggak kejayaan ini terletak pada pembentukan modal insan yang
berpegang kuat pada agama, falsafah bangsa, jati diri yang teguh dan budi
pekerti yang luhur. Kekuatan modal insan telah berjaya membina kecemerlangan
dan kehebatan Tamadun Melayu.
No comments:
Post a Comment