TAMADUN
MELAYU TERAS TAMADUN MALAYSIA
Berlatarbelakangkan lembaran sejarah Tamadun Melayu wajar menjadi
landasan kepada pembentukan Tamadun Malaysia. Tamadun yang dibentuk berasaskan
kepada nilai keagamaan, nilai keunggulan identiti diri, nilai seni dan budaya
dan nilai politik dan perundangan. Asas nilai ini mempunyai peranan yang
penting dan menjadi teras pembinaan tamadun Malaysia. Asas tersebut juga
menjadi corak kepada rangka kerja pembinaan ketamadunan Malaysia.
1
Pembinaan Agama
Agama Islam memainkan peranan yang penting dalam membina Tamadun
Melayu. Hubungan antara agama Islam yang telah memperkenalkan pengetahuan
bercorak falsafah, pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual dengan
Tamadun Melayu yang berpaksikan kepada nilai persekitaran, telah memberi ruang
kepada Tamadun Islam mendominasi arah aliran pemikiran masyarakat Melayu.
Tamadun Islam telah mengubah corak dan gaya penekanannya daripada unsur-unsur estetika
yang bercorak Hindu-Buddha kepada corak akliah yang lebih kompetitif dan sesuai
dengan kehendak jiwa dan penerimaan akal.
Dari aspek ajaran kemasyarakatan Islam telah menekankan
unsur-unsur persamaan, sosial, keadilan, individu dan keperibadian insan, yang
meletakkan manusia adalah mempunyai hak dan tanggungjawab tersendiri dan
bersamaan antara satu sama lain. Dengan keserasian ajaran yang diketengahkan
oleh Islam dan kesesuaiannya dengan cita rasa dan kehendak manusia, Islam telah
menjadi landasan pegangan masyarakat Melayu.
Salah satu pendekatan yang diketengahkan oleh Islam dalam
mempamerkan keindahan ajaran dan kemurnian isi kandungannya ialah melalui
pendekatan ilmu. Tradisi ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah
mengembangkan tradisi pendidikan dan pengajaran. Setiap orang berhak menerima
dan mempelajari ilmu. Fahaman ini memberi ruang kepada masyarakat Melayu untuk
lebih banyak berfikir dan berdaya maju. Dorongan belajar yang diketengahkan
oleh Islam bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan diselangselikan
dengan membaca dan menyelongkar isi kandungan naskhah-naskhah kitab yang telah
ditulis oleh ulama terdahulu. Situasi ini telah mencetuskan fenomena baru
kepada perkembangan intelektual masyarakat Melayu.
Kecenderungan ini telah membuka ruang ke arah penubuhan
pusat-pusat pengajian bermula dari masjid atau surau dan berkembang luas dalam
bentuk yang lebih sistematik dan teratur. Sekolah-sekolah seperti madrasah,
pondok, pesantren, rangkang dan lain-lain didirikan bagi menampung lebih ramai
pelajar yang telah mula sedar betapa pentingnya ilmu dalam membangunkan tamadun
sesuatu bangsa. Sejarah memperlihatkan Pasai yang telah memulakan tradisi
pendidikan di istana pada abad ke-13 M dan diikuti oleh istana Melaka pada abad
ke-15 M dan Aceh abad ke-16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu yang luas
jajahan takluknya, pusat-pusat pendidikan berkembang di luar tradisi bangsawan
yang berpaut di istana dan tersebar di kalangan rakyat yang merupakan tradisi
bawahan. Ini dapat dilihat dengan lahirnya sistem pengajian rangkang di Aceh,
sistem pengajian pondok di Patani dan Kelantan, langgar di Kedah dan pesantren
di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian ini lahir golongan cendekiawan dan
ulama-ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli
agama. Antara tokoh Melayu yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin
al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh Abdul Malik Abdullah di
Terengganu pada abad ke-18 M, Syeikh Daud al-Fatani dan Abdul Samad Palembang
pada abd ke-1 M dan lain-lain. Penubuhan institusi pengajian Islam ini turut
mengubah pandangan dunia orang Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan
dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa (Allah), Nabi-nabi,
Rasul-rasul, Malaikat, Kitab-kitab suci seperti Injil, Zabur dan al-Qur’an.
Keimanan mereka turut diikuti dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa,
mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji.
Sekalipun Islam telah mencorakkan kehidupan masyarakat Melayu,
namun ia tidak menolak amalan agama yang telah menjadi pegangan masyarakat
lain, seperti agama Hindu, Buddha, Sikh, dan Kristian. Kepelbagaian pegangan
itu tidak menjadi halangan pada masyarakat Melayu untuk menjadikan ajaran agama
Islam sebagai dasar dan pegangan kepada Negara. Malah telah berlakunya
interaksi antara agama dan saling menerima dan menghormati antara satu sama
lain. Dalam membina ketamadunan bangsa dan negara, kerjasama antara kaum dan
interaksi antara agama dijadikan asas kepada pembentukan sebuah negara moden.
Orang Melayu dan kaum lain diberi ruang untuk sama menyumbang ke arah pembinaan
negara moden. Sejarah Malaysia membuktikan, ketika membentuk Perlembagaan
Persekutuan 1956, perkara agama tidak dikesampingkan, malah ia menjadi perkara
penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) memperuntukkan agama
Islam adalah agama bagi persekutuan. Walau bagaimanapun agama-agama lain boleh
diamalkan tanpa sebarang halangan atau gangguan daripada mana-mana pihak. Dalam
erti kata lain, agama adalah salah satu aspek penting dan perlu diambil kira
dalam membentuk dan membangun tamadun negara.
2
Pembinaan Nilai Jatidiri
Selain daripada peranan agama dalam membangun sesebuah negara,
peranan nilai juga tidak boleh dikesampingkan dalam membentuk ketamadunan
sesuatu bangsa. Nilai juga menjadi nadi kepada ketamadunan sesebuah bangsa.
Jatuh bangun, maju mundur, cemerlang dan gagal sesebuah bangsa dan negara
berkait rapat dengan amalan nilai sesuatu bangsa. Kerana itu peranan nilai
tidak boleh dipandang remeh dalam menentukan kebangunan dan kelangsungan
tamadun sesuatu bangsa.
Kewujudan dan pengiktirafan terhadap beberapa tamadun silam
seperti tamadun Islam, India, China, Jepun dan tamadun Melayu berkait rapat
dengan nilai yang diamalkan oleh masyarakat tersebut. Islam sebagai agama bagi
persekutuan dan agama yang telah berakar umbi menjadi amalan tradisi masyarakat
Melayu mempunyai nilai-nilai unik yang sesuai dan dapat diterima pakai oleh
bangsa lain. Antara nilai yang diketengahkan dan menjadi asas kepada
pembentukan tamadun bangsa Melayu sebagai asas kepada pembentukan Tamadun
Malaysia seperti bertanggungjawab, jihad, istiqamah, ihsan, jujur dan ikhlas,
adil, bijaksana, bertolak ansur, cekap, produktif, dedikasi dan kerjasama.
Jika diperhatikan secara halus, pembentukan jati diri dan peribadi
Melayu bertitik tolak daripada keluarga. Keluarga dilihat sebagai agen
sosialisasi utama dalam masyarakat. Apabila keluarga telah menjalankan
tanggungjawab, ia telah menyelesaikan sebahagian tuntutan dalam pembinaan
ketamadunan bangsa. Oleh kerana masyarakat Melayu telah dipengaruhi oleh Islam
sebagai teras kehidupan, mereka telah menjadikan ajaran ini sebagai nadi
pembentukan nilai dan peradaban. Pelbagai pantang larang telah diasuh dan perlu
diikuti oleh masyarakat Melayu dalam usaha mereka membina satu gagasan jati
diri yang lebih baik. Misalnya, ibu yang sedang mengandung diberi peraturan
supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk dan keji kerana perbuatan tersebut
akan memberi kesan kepada nilai dan peradaban anak yang akan dilahirkan kelak.
Justeru itu, ibu bapa dikehendaki melakukan perkara yang baik dan tidak
meninggalkan suruhan agama agar anak yang dilahirkan mewarisi nilai yang
dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini bermakna orang Melayu percaya terhadap
nilai perlakuan ibu dan bapa akan memberi kesan yang mendalam kepada anak yang
akan dilahirkan.
Oleh itu, masyarakat Melayu amat prihatin dalam proses mendidik
anak. Bagi mereka, proses pendidikan bukan bermula apabila anak itu dilahirkan,
namun ia lebih jauh daripada itu, iaitu ketika mereka berusaha hendak
mendirikan rumah tangga, dan juga ketika mereka hendak bersatu. Pembinaan jati
diri Melayu bukan sahaja ketika terhad semasa ibu sedang mengandung sahaja,
tetapi ianya menjangkau pada bayi yang telah dilahirkan. Sebaik sahaja anak
dilahirkan, mereka akan berusaha menyerapkan nilai kebesaran dan keagungan
Tuhan dengan melafazkan azan agar kalimah tauhid tersebut menjadi dasar
pegangan anak yang baru dilahirkan. Mereka akan berusaha memberi nama dengan
nama yang boleh melambangkan nilai keperibadian yang baik dan murni. Dengan
cara ini, mereka yakin usaha yang dilakukan itu memberi kesan baik kepada
pembentukan jati diri anak.
Amalan membelah mulut, bercukur jambul, akidah, berkhatan dan
khatam al-Quran adalah amalan yang memperlihatkan gabungan unsur-unsur adat dan
Islam dalam proses orang-orang Melayu membentuk jati diri masyarakat mereka
bersalut dan bersadurkan nilai-nilai yang sesuai dengan ajaran Islam. Tidak
cukup dengan nilai tersebut masyarakat Melayu telah menitipkan asas-asas agama dalam
jiwa dan pemikiran anak-anak mereka sejak kecil. Mereka dididik dengan
konsep-konsep dosa, pahala, haram, halal, suruhan dan tegahan. Apabila umur
semakin meningkat, mereka dilatih dengan amalan-amalan asas agama seperti
sembahyang dan puasa sebagai satu latihan yang boleh membentuk nilai peribadi
yang baik dan harmoni. Tidak ketinggalan juga, keluarga membawa anak-anak
mereka pergi ke surau atau masjid untuk mengerjakan sembahyang berjemaah,
terutamanya pada hari Jumaat dan pada bulan puasa untuk mengerjakan solat sunat
Tarawih. Di samping itu, mereka juga mengajak anak-anak mereka mengamalkan
puasa, sekalipun pada peringkat awal dilakukan secara tidak sepenuhnya. Semua
usaha ini telah menjadi tradisi yang terus diamalkan oleh orang Melayu dalam
proses mereka membangunkan jiwa di kalangan anak mereka. Ini memberi erti
masyarakat Melayu sentiasa mendorong dan mentarbiahkan anak-anak mereka dengan
ajaran agama dalam usaha membina jati diri keluarga mereka dengan ajaran Islam.
Orang Melayu mempunyai daya kreativiti dan daya intelektual yang
tinggi dalam menghayati persekitaran untuk dijadikan suri teladan dalam
mendidik anak-anak. Faktor alam semula jadi dijadikan kias ibarat yang diungkap
sebagai peribahasa dan kata perbilangan sebagai analogi dalam mengasuh dan
mendidik anak-anak dan masyarakat. Peribahasa telah digunakan sebagai panduan,
teladan dan sempadan dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat. Misalnya bulat
air kerana pembetung bulat kata kerana muafakat, seperti aur dengan tebing,
seperti enau dalam belukar dan lain-lain lagi.
3
Pembinaan Nilai Seni dan Budaya
Selain daripada pembinaan jati diri Melayu, Tamadun Islam telah
banyak mempengaruhi Tamadun Melayu dalam aspek seni. Kesenian Melayu seperti
seni lagu, seni tari, seni ukiran, seni bina, seni hias mahupun seni drama
banyak dipengaruhi oleh nilai kesenian Islam. Sebagai contohnya, seni bina
masjid dalam Tamadun Melayu telah dipengaruhi oleh seni tampak dan seni reka
Islam, walaupun dalam pembinaannya terdapat beberapa pengaruh luar seperti reka
bentuk masjid dari Asia Barat. Gabungan seni tempatan dan luar telah menjadi
lambang kekuatan seni bina Melayu. Antara nilai seni tampak yang diperkenalkan
dan ditonjolkan sebagai imej kepada seni bina Islam di Alam Melayu jelas
terpapar pada kubah yang bertingkat. Demikian juga ruang-ruang lain seperti
bentuk mihrab dan bahan untuk membina masjid.
Selain seni bina masjid, seni ukiran Islam juga dapat dilihat pada
seni ukir batu-batu nisan di kawasan perkuburan orang-orang Islam. Seni lukisan
pula bercorak benda-benda yang tidak bernyawa menjadi asas kepada seni lukis
orang Melayu kerana Islam tidak membenarkan lukisan yang bercorak haiwan atau
benda bernyawa. Masyarakat Melayu melihat alam semula jadi sebagai sumber ilham
dalam menghasilkan keindahan karya lukisan mereka dengan menerapkan bunga,
daun-daun dan segala elemen tumbuhan-tumbuhan. Selain itu, motif geometri turut
menjadi objek tata nilai dalam karya orang Melayu. Warisan kesenian Islam ini
dapat dilihat dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk hasil seni orang Melayu
seperti pada tenunan, ukiran, dan barang-barang hiasan rumah.
Seni lagu dan muzik di Malaysia juga tidak terkecuali menerima
pengaruh Islam. Pada peringkat awal, seni lagu dan muzik di Malaysia bercorak
dakwah dengan menatarkan senikata dan anotasinya dalam bentuk yang mampu
meningkatkan imej dan keperibadian diri agar mendekatkan diri kepada
nilai-nilai murni. Seni lagu dan muzik dalam pengaruh ini lebih dikenali
sebagai nasyid, qasidah, sajak, gurindam, syair, seloka dan pantun. Demikian
juga dari aspek peralatan muzik yang diperkenalkan dan menjadi amalan
masyarakat Melayu, juga dipengaruhi oleh nilai Islam, walaupun peralatan
tersebut dibawa dari luar Alam Melayu seperti dari Asia Barat. Antara alat-alat
muzik dari Asia Barat yang mendapat tempat dalam muzik tempatan seperti rebana,
kompang, kecapi, seruling, gambus, gambang, dan gong.
Seni tulis masyarakat Melayu juga tidak terlepas daripada pengaruh
nilai budaya Islam. Ini dapat dilihat daripada seni khat dan kaligrafi Melayu yang
menggunakan ayat-ayat al-Qur’an atau hadis-hadis Nabi sebagai sumber ilham bagi
menghasilkan ukiran atau tulisan. Karya-karya dalam bentuk ini merupakan
kesenian yang paling rapat dengan citarasa seni Islam.
Selain itu, tradisi sastera Melayu juga menampakkan pengaruh Islam
yang begitu ketara. Sastera Melayu terbahagi kepada dua jenis iaitu lisan dan
tulisan. Sastera lisan dapat dilihat pada dua bentuk, iaitu cerita dan bukan
cerita. Menurut Boas, kesusasteraan lisan boleh diibaratkan sebagai autobiografi
yang mengisahkan tentang riwayat sesuatu masyarakat. Oleh itu cerita-cerita
lisan juga membawa kisah-kisah lampau seperti legenda, mitos, penglipur lara,
cerita-cerita binatang dan cerita ghaib. Manakala sastera lisan bukan cerita
pula terhasil dalam bentuk peribahasa, pantun, mantera dan sebagainya.
Kedua-dua bentuk sastera Melayu mencerminkan falsafah hidup dan nilai-nilai
serta sikap masyarakat Melayu pada masa dahulu.
Penyebar-penyebar agama Islam menambah kekayaan ragam sastera
Melayu. Mereka memperkenalkan cerita-cerita dan hikayat-hikayat berunsur Islam
bagi menggantikan cerita-cerita dan hikayat berunsur Hindu. Antara cerita dan
hikayat berunsur Islam seperti Hikayat Mukjizat Nabi, Hikayat Nabi Bercukur,
Hikayat Nabi Mikraj, Hikayat Nabi Sulaiman, Hikayat Zakaria, Hikayat Abu Bakar,
Hikayat Hasan dan Husin, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya.
Selain hasil sastera dalam bentuk cerita atau hikayat, terdapat
juga pengaruh Islam dalam puisi-puisi Melayu. Winstedt dan Muhammad Naguib
al-Attas berpendapat bahawa syair Melayu yang pertama dihasilkan oleh Hamzah
Fansuri (1550-1600 M). Hamzah merupakan seorang penulis prosa dan puisi Melayu
yang pertama dalam bidang kesusasteraan sufi. Sehingga abad 18 M, syair kekal
digunakan dalam semua kategori puisi sastera Melayu, sama ada pada karya
bercorak agama, hikayat mahu pun histiografi Melayu.
Selain syair, terdapat juga puisi yang berasal dari sumber Islam
seperti ghazal, masnawi, nazam, rubai dan kit’an. Menurut Ali Shahbana, semua
bentuk puisi ini berasal dari Arab dan Parsi. Masnawi umpamanya, digunakan
untuk memuji-muji kaum bangsawan mahupun untuk tujuan masing-masing. Rubai pula
berunsurkan tema sufi dan falsafah Islam yang berbentuk pantun ataupun sajak.
Bertitik tolak daripada pengaruh kebudayaan Islam dalam Kebudayaan
Melayu, kerajaan Malaysia telah membuat satu dasar yang menjadi landasan dalam
menentukan corak dan nilai budaya masyarakat Malaysia yang lebih dekat dengan
nilai dan budaya yang telah melatari nilai budaya Melayu iaitu kebudayaan
Islam. Kerajaan telah menetapkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berpaksikan kepada
Islam, kerana Islam telah mendominasi nilai budaya masyarakat Melayu. Sekalipun
Islam menjadi landasan kepada nilai budaya Malaysia, nilai budaya setempat
daripada etnik-etnik lain seperti Melanau, Iban, Kadazan dan lain-lain tidak
dikesampingkan, selagi ia tidak bertentangan dengan nilai budaya yang telah
menjadi akar umbi orang-orang Melayu.
4
Pembinaan Nilai Politik dan Perundangan
Interaksi peradaban Islam dengan Alam Melayu telah bermula
kira-kira abad ke-10 M. Namun begitu, proses perubahan akibat interaksi ini
berlaku agak perlahan kerana pengaruh Hindu masih mencengkam dalam minda
masyarakat Melayu, di samping golongan elit yang masih selesa dengan amalan
Hindu-Buddha. Walau bagaimanapun, kehadiran Islam di Alam Melayu akhirnya telah
membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Melayu, sehingga unsur-unsur
Hindu-Buddha hampir terhakis dan yang kekal hanyalah aspek yang bersesuaian
dengan ajaran Islam.
Islam telah mempengaruhi perundangan Malaysia. Pengaruh ini begitu
jelas pada masa pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam
yang dilaksana oleh Kesultanan Melaka bukan sahaja berkisar dalam bidang
kekeluargaan (munakahat) atau jual beli (muamalat), namun ianya menjangkaui
bidang-bidang yang berkaitan dengan hukum jenayah dan sivil. Hal ini dibuktikan
dengan adanya naskhah Melayu dalam perundangan seperti Hukum Kanun Melaka.
Menurut Dr Ph S Ronkel, teks ini mengandungi 27 fasal undang-undang, sementara
Undang-undang Melaka yang tercatat pada naskhah yang terdapat dalam koleksi di
Muzium British mengandungi 44 fasal (Mahmood Saedon: 219). Menerusi teks ini
dapat dibuat kesimpulan bahawa undang-undang Kanun Melaka berdasarkan
undang-undang Islam dari aliran mazhab Syafie, namun unsur-unsur adat Melayu
tidak dinafikan kewujudan dalam undang-undang Melayu.
Fahaman mazhab Syafie jelas ketara pada kanun ini seperti pada
peruntukan hukum qisas dalam fasal 5(1), (3), 8(2),(3), 18(4), dan 39.
Peruntukan ini membicarakan tentang pembunuhan yang sengaja dilakukan oleh
orang Islam ke atas orang kafir, orang merdeka ke atas hamba dan bapa terhadap
anaknya. Undang-undang Kanun Melaka tidak mengenakan qisas bagi kesalahan
tersebut .
Undang-undang Kanun Melaka juga mengandungi penjelasan hudud yang
meliputi kesalahan zina, qazaf, mencuri, merompak, murtad, dan minum arak.
Perkara tersebut diperuntukkan dalam fasal 40(2), 43(5), 36(1),12(3), 7(2),
11(1), 42 dan 43. Undang-undang ini juga memasukkan kesalahan melakukan hubungan
jenis sesama lelaki (liwat) dan hubungan jenis dengan binatang seperti
diperuntukkan dalam fasal 43(5), yang menepati pendapat mazhab Syafi`e. Para
ulama pada mazhab ini berpendapat perkara tersebut termasuk dalam kategori
zina. Dalam fasal 36(1) Undang-undang Kanun Melaka turut memperuntukkan hukuman
bagi mereka yang murtad. Mereka yang melakukan kesalahan murtad boleh dibunuh,
atau dihukum mati dan diminta bertaubat. Bagi kesalahan minum arak,
undang-undang Kanun Melaka menetapkan 40 kali sebatan bagi pesalah yang merdeka
dan hamba 20 kali sebatan. Sekalipun demikian, imam boleh mengenakan hukuman
lebih daripada jumlah yang ditetapkan kepada mereka yang merdeka setelah
mengadakan perbincangan dan mengambil kira budi bicara Perdana Menteri.
Selanjutnya, undang-undang Malaysia masih dipengaruhi oleh
undang-undang Islam. Ini dapat dilihat pada kedudukan Agama Islam, bidang kuasa
dan pentadbirannya dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama bagi persekutuan;
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
bahagian Persekutuan. Demikian juga dalam Perkara 3 ( 2 ) menjelaskan kedudukan
raja pada setiap negeri (melainkan negeri yang tidak mempunyai raja) sebagai
ketua agama Islam dalam negerinya setakat yang diakui dan diisytiharkan oleh
perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan Yang Dipertuan Agong
adalah ketua agama Islam dalam negeri di wilayah-wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan. Bagi maksud ini, Parlimen boleh meluluskan undang-undang untuk
menetapkan peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam.
Parlimen juga boleh meluluskan undang-undang bagi menubuhkan suatu majlis untuk
menasihat Yang Di Perutan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan
agama Islam.
Peruntukan ini turut memberi jaminan kepada penganut agama Islam
bahawa kerajaan negeri akan mengawal dan menyekat perkembangan apa juga akidah
dan kepercayaan agama di kalangan masyarakat Islam. Kerajaan juga berhak
mengadakan bantuan kewangan khas untuk menubuh atau menyelenggara institusi
Islam atau mengembangkan agama Islam seperti yang dapat dilihat pada peruntukan
12(2). Peruntukan ini menyatakan “Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak
menubuh dan menyelenggarakan institusi-institusi untuk pelajaran kanak-kanak
dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada perbezaan semata-mata
oleh sebab agama dalam mana-mana undang-undang berkaitan dengan institusi
itu....”
Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan kuasa mentadbir
undang-undang Islam pada pihak berkuasa negeri selaku ketua agama di sesebuah
negeri atau wilayah. Ketua agama di negeri masing-masing dipertanggungjawab
melaksanakan tugas dengan nasihat Majlis Agama Islam yang mempunyai kuasa
seperti berikut:
a. Mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu isu undang-undang Islam
yang dirujukkan kepadanya.
b. Mentadbir harta-harta wakaf.
c. Membuat peraturan pungutan dan pembahagian zakat fitrah.
d. Melantik jawatankuasa syariah, kariah dan Maulud Nabi.
e. Mentadbirkan masjid dan sekolah-sekolah agama.
f. Mendaftarkan orang-orang yang memeluk Islam.
Majlis Agama Islam dibantu oleh Jabatan Hal-ehwal Agama Islam
dalam menjalankan tugas-tugas bersabit dengan perkara berikut:
a. Pentadbiran undang-undang zakat
b. Pemungutan zakat dan fitrah
c. Pengurusan baitulmal.
Undang-undang Islam di negeri-negeri di Malaysia ditadbirkan
menurut Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Enakmen
atau ordinan tersebut memberi peruntukan mengenai penubuhan Majlis Agama Islam,
penubuhan Mahkamah Syariah, sumber kewangan, perkahwinan dan perceraian, nafkah
tanggungan, kesalahan-kesalahan sivil dan jenayah serta mualaf.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pula memperuntukkan
peranan Yang Di-Pertuan Agong untuk menjamin kedudukan istimewa orang-orang
Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak. Selain itu, Perkara 160(2)
Perlembagaan Persekutuan menegaskan takrif orang Melayu, iaitu:
i. Menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan
adat istiadat Melayu.
ii. Lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura.
iii. Ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura.
iv. Bermastautin di Persekutuan atau Singapura pada hari Merdeka.
5
Pembinaan Atas Dasar Ekonomi
Peranan Islam dalam aspek pembangunan ekonomi umat Melayu di zaman
awal pertapakan Islam jelas dapat ditelusuri melalui kemunculan dan
perkembangan kawasan dagangan umat Melayu. Jika sebelum pertapakan Islam di
Alam Melayu, kawasan operasi ekonomi Melayu hanya terbatas pada wilayah-wilayah
di India sahaja tetapi setelah penerimaan Islam oleh masyarakat Melayu, kawasan
perdagangan umat Melayu telah berkembang hingga ke Semenanjung Tanah Arab.
Sehubungan itu banyaklah hasil-hasil dagangan luar mula masuk ke wilayah Alam
Melayu dan serentak itu hasil-hasil ekonomi Alam Melayu mula dikenali oleh
masyarakat luar.
Agama Islam juga telah mempengaruhi kaedah dan transaksi ekonomi
masyarakat Alam Melayu. Sistem ekonomi yang berdasarkan syariat Islam mula
diperkenalkan. Kegiatan ekonomi masyarakat Islam yang rancak telah menjana
pembangunan dan kepentingan umat dengan cara memberi sumbangan dan memenuhi
kewajipan agama Islam seperti berzakat dan bersedekah. Keadaan ini berterusan
sehingga kedatangan pihak penjajah yang mula memperkenalkan sistem ekonomi
moden (acuan Barat) yang tidak bertitik tolak dari syariat Islam.
Perkembangan pesat ekonomi Semenanjung Tanah Melayu telah
mencetuskan keperluan tenaga kerja di sektor-sektor perladangan dan
perlombongan. Sebagai mengatasi kemelut ini, penjajah Inggeris telah membawa
buruh-buruh asing dari luar Tanah Melayu khususnya dari India dan Cina untuk
memenuhi keperluan tenaga buruh. Dalam perkembangan seterusnya, kegiatan dan
aktiviti ekonomi pada dua sektor ini membawa kesan yang kurang sihat kepada
keharmonian masyarakat di Malaysia/ Tanah Melayu. Kehadiran dua bangsa asing
secara berterusan dan bermustautin di negara ini telah membentuk masyarakat
dominan di Malaysia yang dikenali dengan masyarakat makmuk. Tiga bangsa
tersebut ialah Melayu, Cina dan India. Tiga kelompok bangsa ini mudah dikenali
menerusi kegiatan ekonomi yang mereka usahakan dan penempatan warisan mereka.
Keadaan ini berterusan sehingga Malaysia/Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan
berusaha membawa masyarakat Melayu berkecimpung dalam bidang ekonomi moden
kerana kaum Melayu terpaksa bersaing dengan kaum Cina yang lebih dahulu
menguasai sektor ini. Penguasaan sektor ekonomi oleh kaum Cina berterusan
selepas era kemerdekaan. Peristiwa 13 Mei 1959, telah menjadi titik tolak
penting dalam sejarah perkembangan ekonomi Tanah Melayu. Peristiwa tersebut
membawa perubahan besar dalam sosio-ekonomi Malaysia. Usaha yang lebih
pro-aktif telah dilakukan dalam menentukan peristiwa ini tidak berulang
kembali. Justru itu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun
1970. Dasar ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan ekonomi kalangan
masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina. Dasar ini berjalan selama 10 tahun
dengan matlamat utama untuk mencapai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam sektor
ekonomi.
Sungguhpun belum mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pemilikan 30%
ekuiti bumiputera di sektor ekonomi, namun dasar ini tetap menjadi landasan
penting dalam menggalakkan penglibatan langsung golongan bumiputera dalam
bidang ekonomi. Dasar ini telah meningkatkan usaha bumiputera Melayu sehingga
melahirkan golongan usahawan Melayu-Muslim yang berjaya. Kejayaan ini menjadi
penyumbang kepada negara dalam usaha Malaysia membina kekuatan ekonomi, mengembeling
kesetiaan dan perpaduan bangsa demi mempertahankan kedaulatan negara. Kejayaan
ini juga meliputi kemampuan mengurus sumber asli di negara ini. Sumber
petroleum telah berjaya diurus dengan penuh cemerlang oleh Syarikat Petronas
yang telah memaksimumkan kepentingan Malaysia, di samping menjadikan Petronas
antara gergasi korporat global. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada
tahun 1970 telah memungkinkan pegangan ekuiti Melayu-Muslim ditambah daripada
paras paling rendah iaitu dari 2.4 peratus pada tahun 1970 kepada tahap
pencapaian 19.3 peratus pada tahun 1990.
Namun setelah tamat tempoh rasmi pelaksanaan DEB pada tahun 1990
dan setelah Dasar Penswastaan dilaksanakan, pencapaian ekonomi Melayu kelihatan
telah merosot kepada 18.9 peratus pada tahun 2000 dan bertambah menurun pada
tahun 2002 sebanyak 18.7 peratus. Hakisan ini berlaku apabila krisis ekonomi
melanda negara ini pada tahun 1997. Keadaan ini perlu ditangani dalam usaha
mengembalikan maruah umat dan agama di tempat yang sebenarnya demi memelihara
martabat umat Islam. Fenomena ini menuntut satu gagasan strategi baru yang
lebih berkesan dan perkasa dalam menyatupadukan semula seluruh tenaga bangsa
dan umat Melayu Islam. Dengan kata lain, bangsa Melayu dan umat Islam tiada
pilihan lain, selain menerima gagasan Agenda Ekonomi Hadhari yang mensasarkan
usaha perniagaan di monopoli oleh anak bangsa sebagai perjuangan bertaraf
Jihad. Pendekatan ini merupakan strategi yang berkesan dan menepati situasi
cabaran semasa dan realiti ekonomi global hari ini.
6
Pengaruh Islam dalam institusi kewangan
Agama Islam turut mempengaruhi aktiviti ekonomi masyarakat Islam.
Masyarakat Melayu mempunyai azam dan cita-cita untuk melaksanakan Islam dalam
aspek ekonomi. Justeru itu, usaha ini telah membawa kepada penggubalan dasar
dan perubahan dalam perundangan ekonomi sehingga membawa kepada penubuhan
institusi-institusi Islam yang memainkan peranan penting dalam ekonomi dan
perniagaan Islam di Malaysia.
Praktis ini semakin serius dilakukan dalam amalan institusi kewangan.
Era 1980an menampilkan satu perkembangan yang memberangsangkan di mana usaha
pemerintah menjadikan wawasan ekonomi berteraskan Islam dapat dilaksanakan.
Akta perbankan telah dirombak bagi membolehkan pihak kerajaan menubuhkan satu
institusi yang menjalankan amalan perniagaan berdasarkan syariat Islam. Justeru
melalui perubahan terhadap akta perbankan, penubuhan institusi kewangan Islam
telah diluluskan. Ekoran itu, wujud Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang
menjadi pelopor perbankan Islam. Penubuhan institusi ini dilanjutkan dengan
wujudnya Bank Muamalat yang juga menjalankan operasi berdasar sistem muamalat
Islam. Pengurusan perbankan yang berpandukan kaedah syarak dan ditadbir urus
oleh golongan profesional Islam telah memberi sinar baru kepada institusi
kewangan Islam di Malaysia. Ini dapat digambarkan melalui sokongan berterusan
kerajaan dan umat Islam dengan menjadi ahli perbankan Islam serta terlibat
dalam aktiviti perniagaan yang diperkenalkan oleh pihak bank. Kejayaan ini
ditambah dengan adanya dokongan pihak berkuasa melalui agensi-agensi di
bawahnya. Minat dan keyakinan pihak pelabur dari kalangan bukan Islam juga
menjadi faktor pembantu ke arah pencapaian cemerlang Bank Islam hingga kini.
Malahan bank-bank konvensional cuba menerapkan elemen perniagaan mengikut
kaedah Islam dalam operasi bank mereka. Ini menjadi petanda kejayaan operasi
perbankan yang berteraskan syariah Islam dan menjadi alternatif penting dalam
menangani cabaran ekonomi konvensional yang ternyata menimbulkan pelbagai kekeliruan
kepada umat dan masyarakat.
Kewujudan institusi perniagaan Islam ini telah memberi pilihan
kepada umat Melayu untuk memberi sumbangan dan turut sama dalam usaha memajukan
ekonomi umat Melayu. Institusi kewangan Islam ini juga tidak menghalang masyarakat
bukan Islam sama-sama menganggotai institusi kewangan ini. Oleh itu terdapat
sebahagian masyarakat bukan Islam yang menaruh penuh kepercayaan kepada
institusi kewangan yang dilaksanakan oleh umat Islam sehingga mereka tidak
ragu-ragu menanam modal dalam institusi kewangan yang dikendalikan oleh umat
Islam.
7
Pembinaan Institusi Pendidikan (Bahasa, ilmu dan intelektual).
Menurut Winstedt, bahasa Melayu sebelum kewujudan Islam di Alam
Melayu ditulis dengan menggunakan huruf Kawi dan Nagari yang berasal dari
Pallava, India. Manakala tulisan Jawi mulai terkenal dalam Tamadun Melayu
selepas kedatangan Islam. Huruf Arab yang berasal dari al-Qur’an telah
menggantikan huruf Kawi dan Nagari. Oleh itu, kedatangan Islam ke Alam Melayu
ini telah melahirkan satu bentuk tulisan baru bagi masyarakat rantau ini yang
dikenali sebagai tulisan jawi. Ia merupakan satu bentuk tulisan baru yang
dicipta oleh sekumpulan masyarakat Islam keturunan Parsi yang menetap di
bahagian utara Sumatera. Tulisan ini menggabungkan huruf Arab-Parsi yang
kemudian dikenali sebagai tulisan Jawi. Tulisan ini kemudiannya telah digunakan
secara meluas dalam bidang penulisan kitab-kitab agama Islam yang menjadi
medium utama penyebaran ajaran Islam di daerah Nusantara ini.
Perkembangan dan penggunaan tulisan jawi telah mempengaruhi
perkembangan bahasa Melayu. Sejajar itu istilah-istilah agama Islam telah
diserap menjadi sebahagian istilah bahasa Melayu. Sebagai contohnya, perkataan
akidah, iman, ihsan, sedekah, zakat, wajib dan lain-lain adalah perkataan
bahasa Arab untuk menjelaskan ajaran Islam yang telah menjadi sebahagian
perkataan bahasa Melayu.
Agama Islam turut berjaya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa Lingua Franca atau bahasa perantaraan dalam menjalin hubungan dengan
masyarakat luar. Bahasa Melayu yang diucapkan oleh seluruh masyarakat Melayu di
wilayah Alam Melayu telah menjadi bahasa pengantar agama Islam di Gugusan
Kepulauan Melayu di samping menjadi bahasa ilmu, sosio-politiik serta
sosio-ekonomi. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara telah
memungkinkan wilayah ini menjadi “emporium besar” yang berjaya menarik minat
masyarakat di luar wilayah gugusan Melayu ini.
Penggunaan bahasa Melayu bertambah kukuh dengan terhasilnya
karya-karya kesusasteraan Melayu sama ada berbentuk karya saduran dari sastera
Timur Tengah dan Asia Barat atau karya asli ilmuwan dan sasterawan Melayu.
Melalui penghasilan karya yang menggunakan tulisan jawi, bahasa Melayu telah
berjaya menjadi perantara segala ilmu dan maklumat Islam. Perkembangan Islam
melalui medium penting ini telah membawa manfaat besar kepada masyarakat Alam
Melayu untuk memahami ajaran Islam. Ini menjadi pendorong kukuh kepada para
pendakwah dan ilmuwan Islam untuk memperbanyakkan hsil penulisan berkaitan
Islam demi mencapai hasrat dakwah Islam. Penggunaan tulisan jawi yang diasaskan
kepada huruf-huruf Arab dengan penambahan lima huruf baru (Nya , Ca , Ga , Pa
dan Nga ) telah menambah nilai kekuatan bahasa Melayu. Hasilnya perbendaharaan
kata dan istilah Melayu dikembangkan melalui pengaruh bahasa Arab dan bahasa
Parsi di samping pemakaian huruf Arab sedia ada.
Selain itu, Islam telah memperkenalkan pengetahuan bercorak
falsafah, pemikiran yang bercorak rasional dan intelektual di rantau Alam
Melayu. Melalui pemikiran rasional, Islam menekankan unsur-unsur persamaan
sosial, keadilan dan keperibadian mulia dalam mewujudkan masyarakat harmoni di
rantau ini. Perkembangan ini telah mengubah penekanan unsur-unsur estetika yang
bercorak fahaman Hindu-Buddha kepada bercorak akliah Islamiah.
Ilmu pengetahuan yang ditekankan oleh Islam telah mengembangkan
tradisi pendidikan dan pengajaran. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran
membaca al-Quran dan kitab-kitab mengenai ajaran Islam. Pusat pengajian mulai
tumbuh di masjid atau surau. Selanjutnya, sekolah-sekolah seperti madrasah,
pondok, pesantren, rangkeng dan lain-lain didirikan bagi menampung para pelajar
yang semakin ramai. Pasai sebagai contohnya, telah memulakan tradisi pendidikan
di istana pada abad 13 M. Demikian juga istana Melaka pada abad 15 M dan
Kesultanan Aceh abad 16 M. Selepas kejatuhan empayar Melayu, pusat-pusat
pendidikan telah berkembang di luar tradisi tinggi yang berpusat di istana
berpindah di kalangan rakyat jelata yang mewakili tradisi rendah. Ini
dibuktikan dengan lahirnya sistem pengajian rangkeng di Aceh, sistem pengajian
pondok di Patani, Kelantan dan Kedah dan seterusnya pesantren di Pulau Jawa.
Melalui sistem pengajian tersebut lahirlah para cendekiawan dan
ilmuan Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru, ulama dan
ahli agama. Antara tokoh Melayu yang terkenal pada peringkat awal seperti
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dari Aceh, Syeikh Abdul
Malik Abdullah Terengganu, Syeikh Daud al-Fatani, Abdul Samad al-Palembangi dan
ramai lagi. Tokoh-tokoh dari kalangan ulama ini telah memainkan peranan yang
besar dalam menyampai dan menyebarkan ilmu-ilmu berkaitan akidah dan syariat
Islam dalam pelbagai genre sastra Melayu seperti puisi, pantun, syair,
gurindam, seloka, perbidalan, peribahasa mahupun bentuk prosa kepada masyarakat
Melayu di seluruh wilayah Nusantara. Kekuatan pengaruh Islam pada tahap awal
ini yang telah melahirkan kerajaan atau pusat pemerintahan Islam di wilayah ini
dan mempunyai tokoh-tokoh ulama’ yang mendapat pengiktirafan daripada ulama
besar di Asia Barat atau Semenanjung Tanah Arab telah menyebabkan wilayah ini
menjadi tumpuan masyarakat Islam dari luar daerah Nusantara untuk berkunjung
dan mendalami ilmu pengetahuan di wilayah ini.
Perkembangan pendidikan pasca penjajahan dan kemerdekaan
menunjukkan kemajuan yang pesat. Bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan
dalam agenda negara dan memperoleh dana yang tinggi dalam program pembangunan
melalui rancangan jangka pendek dan jangka panjang yang diperkenalkan oleh
pihak Kerajaan Malaysia. Institusi pendidikan tinggi yang berorientasikan
keislaman tetap tumbuh dan berkembang secara terancang sama ada didirikan oleh
pihak pemerintah atau badan-badan NGO. Sebagai contoh, wujud Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam
(ISTAC), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Iqra’, Institut
Ibnu Sina dan banyak lagi. Kewujudan institusi ini membuktikan kepesatan
perkembangan pendidikan di wilayah ini. Demikian juga kemunculan pusat-pusat
pengajian keislaman tradisional serantau yang berwibawa seperti Ikatan
Cendiakawan Muslim Indonesia (ICMI), Majlis Ilmu Patani, Thailand dan
sebagainya turut membuktikan pengaruh Islam yang kukuh dalam bidang pendidikan
dan keilmuan. Situasi ini semua memantapkan lagi kewibawaan umat Islam di
rantau ini.
Menelusur era pendidikan agama Islam pada zaman penjajahan
Inggeris di Malaysia, memperlihatkan perkembangan pendidikan agama melalui
zaman kemalapan. Ini disebabkan pengamalan dasar “Divide and role” oleh
pemerintah Inggeris dalam persoalan agama. Menerusi dasar ini, adalah menjadi
tanggungjawab masyarakat Melayu sendiri menguruskan hal-hal berkaitan agama.
Kesannya, pendidikan agama terpinggir dalam arus pembangunan negara dan hal
agama adalah bersifat individu. Oleh itu, tidak hairan mengapa di zaman
penguasaan penjajah pendidikan agama mulai terkeluar dalam program pembangunan
pemerintahan secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna
pendidikan agama langsung tidak mendapat tempat, sebaliknya ia terus berkembang
dalam ruang lain melalui usaha berterusan para alim ulama’ yang mahukan
pendidikan Islam terus dapat diterima oleh masyarakatr Islam di wilayah ini.
Perlembagaan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan telah
memperuntukkan hak kepada semua rakyat untuk mendapat pendidikan formal
semenjak di peringkat awal lagi. Golongan pendidik Islam telah mempergunakan
ruang ini dengan menubuhkan institusi pendidikan dan pusat-pusat keilmuan
Islam. Institusi ini menjadi tempat umat Islam mendalami pelbagai bidang ilmu
pengetahuan. Penubuhan institusi ini memberi kesan kepada perkembangan
pendidikan agama di Malaysia. Pada era tahun 80an pendidikan agama mengalami
perubahan pesat, di mana sebahagian besar sekolah-sekolah agama rakyat mula di
kendalikan oleh Kementerian Pelajaran dengan bantuan dan sokongan pemerintah.
Kesan pengambilalihan ini, ramai di kalangan pelajar-pelajar Melayu Islam yang
telah berjaya meneruskan pengajian mereka hingga ke peringkat universiti sama
ada di dalam mahupun luar negara. Pengisian kurikulum yang bersifat semasa dan
penerapan asas-asas ajaran Islam telah menarik minat ramai kalangan ibu bapa
untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah aliran agama di
bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Ini agak berbeza dengan tanggapan awal
masyarakat Islam yang melihat prospek lulusan agama adalah tidak menentu. Pada
hari ini rata-rata ibu bapa yakin dengan kemampuan dan peluang yang disediakan
oleh pemerintah di sekolah-sekolah agama. Lulusan aliran ini bukan sahaja dapat
menguasai ilmu agama, malah anak-anak mereka turut menguasai ilmu-ilmu sains
dan teknologi di samping pelbagai kemahiran.
Berdasarkan analisis di atas, jelas memperlihatkan Tamadun Melayu
adalah paksi kepada pembinaan Tamadun Malaysia. Sebagai masyarakat peribumi
yang telah lama menetap di wilayah ini, tatacara hidup mereka tidak boleh
dikesampingkan dalam menentukan corak nilai budaya dan tamadun bangsa Malaysia
pada masa akan datang. Islam yang merupakan agama universal, anutan generasi
Melayu, teras pegangan rakyat peribumi serta agama bagi negara ini, harus
dilihat sebagai satu nilai tradisi yang turut menyumbang kepada pembinaan
tamadun Malaysia.
Beberapa aspek yang perlu dilihat dalam kita menentukan peranan Tamadun
Melayu dalam membina Tamadun Malaysia adalah bersandarkan kepada latar belakang
asas pembinaan Tamadun Melayu. Tamadun Melayu telah menjadi landasan
perkembangan tamadun Malaysia yang bertunjangkan kepada nilai keagamaan, nilai
identiti diri, nilai seni dan budaya dan nilai politik dan perundangan. Kesemua
nilai ini mempunyai peranan penting dan dijadikan asas pembinaan Tamadun
Malaysia. Asas-asas ini menjadi acuan kepada rangka kerja pembinaan Tamadun
Malaysia.
boleh saya tahu reference awak ape
ReplyDelete